BN akur keputusan rakyat - Najib (PRK Kuala Terengganu)
Beliau berkata, keputusan rakyat itu adalah melalui proses demokrasi dan harus diterima dengan hati terbuka.
"BN menerima keputusan yang dibuat pengundi. Dalam sistem demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat.
"Kita mesti percaya kepada demokrasi dan kita harus akur dengan keputusan rakyat. Kita akan ambil iktibar dan akan terus berkhidmat kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas pengumuman rasmi keputusan pilihan raya kecil itu di Kediaman Menteri Besar, Seri Iman di sini, malam tadi.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dan calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Pada pertandingan tiga penjuru itu, calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut yang memperolehi 32,883 undi menang dengan majoriti 2,631 undi, Wan Ahmad Farid (30,252), manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.
Najib yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil BN berkata, BN akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan akan melaksanakan apa yang perlu bagi mengembalikan semula imej parti memulihkan keyakinan rakyat terhadap BN dalam menerajui negara.
"Saya yakin kesudahannya rakyat yakin kepada BN. Saya nyatakan dari mula lagi, ini pilihan raya kecil, (maka) banyak faktor yang menentukan keputusannya, termasuk soal perkhidmatan," katanya.
Ketika diminta mengulas faktor yang memungkinkan kekalahan BN, Najib berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian. Bagaimanapun, BN akan mengkaji perkara itu bagi menentukan hala tuju dan kesannya kepada BN.
"Kita ambil keputusan ini untuk menentukan hala tuju Umno serta BN dan adalah terlalu awal untuk menentukan faktor kekalahan ini. Sampai masanya, kita akan akan tahu faktornya," katanya.
Bagaimanapun katanya, kekalahan pada pilihan raya itu tidak akan menjadi topik utama perbincangan pada Konvensyen BN yang akan berlangsung bulan depan dan berkeyakinan kekalahan yang berlaku bukan bermakna pengundi tidak yakin dengan kepemimpinannya untuk mengambil alih pentadbiran daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Mac depan.
"Ini pilihan raya kecil, walaupun kita kalah dulu, tetapi akhirnya kita akan berjaya. Saya tak fikir ini akan beri kesan kepada BN dalam menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.
- Berita Harian