Ekonomi Malaysia dibimbangi terjejas
Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba berkata, pihaknya menaruh harapan agar kerajaan melalui agensi-agensi terbabit segera mempertimbangkan permohonan pihak industri supaya harga gas dan tarif elektrik diturunkan.
Katanya, pertimbangan itu perlu kerana kebanyakan syarikat pelaburan asing di negara ini terlibat dalam sektor kecil tenaga diperbaharui yang memerlukan penggunaan gas yang tinggi.
''Kebanyakan syarikat-syarikat asing mengeluh dengan kenaikan harga gas dan tarif elektrik dan mereka telah mula melahirkan rasa tidak puas hati terhadap operasi mereka di Malaysia.
''MIDA memang berharap kerajaan segera dapat memberi pertimbangan terhadap isu ini kerana kalau berlarutan, MIDA bimbang banyak syarikat asing akan berpindah ke negara lain atau mengecil operasi mereka di sini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Kenaikan tarif elektrik sebanyak 24 peratus dibuat pada Julai tahun lalu ekoran kenaikan harga gas dan arang batu.
Kini, Petronas menjual gas kepada sektor tenaga pada harga RM14.31 setiap juta unit termal British (MMBtu) berbanding RM6.40 bagi setiap MMBtu sebelum Julai lalu.
Gas menyumbang 60 peratus kepada penjanaan elektrik manakala arang batu 30 peratus dan hidro di antara lima dan enam peratus dan selebihnya dari sumber tenaga lain.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan mengumumkan harga baru gas selewat-lewatnya Jun ini.
Dalam reaksi awalnya mengenai penurunan tarif elektrik, Salang berkata, adalah mustahil bagi tarif elektrik diturunkan sekarang hanya berdasarkan kepada harga arang batu semasa.
Ia kerana ketika kerajaan mengkaji semula tarif kuasa elektrik pada Jun tahun lalu, ia berasaskan kepada andaian harga arang batu AS$75 (RM270) setan tetapi sebaliknya, harga arang batu ketika itu meningkat kepada antara AS$120 (RM432) dan AS$140 (RM504) setan.
Harga pasaran semasa arang batu adalah sekitar AS$75 (RM270) bagi setiap tan.
Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Bhd., Datuk Seri Che Khalib Mohamed Noh dalam kenyataan terbarunya membayangkan pihak industri mungkin diberikan insentif tarif elektrik oleh kerajaan bagi mengurangkan beban dan membolehkan mereka meneruskan operasi ketika kemelesetan ekonomi melanda sekarang.
Jalilah menambah, berdasarkan maklum balas, kebanyakan pelabur asing berlapang dada sekiranya kerajaan berhasrat menaikkan harga gas dan tarif elektrik tetapi kadarnya perlulah munasabah berbanding dengan kenaikan yang terbaru.
Beliau menambah, pengurangan harga gas dan tarif elektrik itu penting bagi membolehkan pelabur asing mengurangkan kos pengeluaran mereka, terutama di saat-saat genting seperti sekarang.
''MIDA amat bimbang jika isu ini tidak diselesaikan, Malaysia akan menjadi kurang kompetitif dan hilang daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan asing,'' ujarnya.
Beliau berkata, Malaysia kini sedang bersaing rapat dengan Vietnam, Thailand dan China, selain Singapura.
Jalilah berkata, dalam keadaan sekarang, Malaysia tidak ada pilihan lain kecuali menyelesaikan isu tersebut memandangkan Vietnam sedang membuat persiapan yang hebat untuk menarik pelabur asing.
''Vietnam bergerak terlalu pantas dalam merebut peluang pelabur asing,'' katanya.
- Utusan