Komentar - Bersatu teguh demi menjana ekonomi ummah

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam karyanya Aina al-Khalal pernah berkata: "Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran daripada galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta-kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun."

Bunyinya pahit, tetapi ada benarnya. Apatah lagi dalam keadaan kita yang sudah lama terluka melihat penderitaan dan penghinaan yang dilakukan terhadap umat Islam di seluruh dunia. Krisis ekonomi yang melanda dunia kini menambah buruk keadaan ekonomi negara-negara Islam yang rata-ratanya menjadi pengguna daripada barangan hasilan tangan-tangan pengeluar bukan Islam.

Tidak dapat dinafikan bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kemajuan ekonomi, dan kekuatan ekonomi sangat bergantung kepada hasil usaha rakyat negara itu sendiri. Justeru, dalam kita menangisi keperitan saudara-saudara kita, sewajarnya kita terutamanya remaja bermuhasabah dengan kekuatan dan kelemahan yang kita ada dan seterusnya merencana strategi untuk memartabatkan ekonomi umat Islam supaya tidak terlalu bergantung kepada negara Barat.

Rasa tanggungjawab

Pada dasarnya, banyak kelebihan yang dapat dinikmati sekiranya umat Islam bersatu padu dalam menjana ekonomi umat sendiri, antara lainnya mereka akan mempunyai kuasa membeli yang tinggi kerana kapasiti jumlah umat Islam yang tinggi menjadikan keperluan barangan dan makanan juga tinggi.

Jika kuasa membeli ini dialirkan kepada membeli barangan yang dihasilkan oleh umat Islam sendiri, akan berlakulah kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam. Selain itu, umat Islam mempunyai ruang dan potensi yang luas untuk memajukan ekonomi sendiri dalam bidang makanan, minuman dan ubat-ubatan berdasarkan kewajipan untuk menggunakan produk-produk yang halal dan suci pembuatannya.

Sudah tiba masanya umat Islam menghasilkan produk dan barangan sendiri. Dalam menjayakannya, modal, idea dan tenaga sangat diperlukan dalam memajukan bidang ini. Para remaja wajar berasa terpanggil untuk menguatkan semangat untuk memajukan ekonomi umat Islam. Semangat untuk memajukan ekonomi umat Islam harus ditunjangi dengan kekuatan akidah yang kukuh dan rasa tanggungjawab untuk membangunkan umat.

Apabila rasa tanggungjawab untuk membantu umat mewarnai sikap seseorang remaja, maka secara tidak langsung ia akan membuatkan seseorang menjadi komited dan cekal dalam sesuatu bidang yang diceburi. Amat menyedihkan apabila hasil bumi negara sendiri dikaut oleh orang luar, dan tenaga muda yang ramai dan segar tidak dilatih untuk mengusahakan hasil bumi mereka dan hanya bergantung kepada kepakaran luar.

Remaja Islam harus bercita-cita tinggi untuk menjayakan matlamat ini dengan bersikap berani untuk meneroka bidang dan pasaran baru. Bidang perniagaan dan keusahawanan adalah bidang penuh dengan risiko dan cabaran, tetapi mendatangkan punca rezeki yang lumayan jika berhasil.

Setinggi nama Islam

Namun begitu, barangan yang dihasilkan mesti mempunyai kualiti yang tinggi seperti kerana ia bukan sahaja mencerminkan sesebuah jenama, tetapi juga menampilkan imej pengeluar. Apabila sesebuah produk mendapat kepercayaan pembeli, maka secara tidak langsung ia mengangkat imej pembuatnya.

Bayangkan jika barangan yang dihasilkan seseorang atau sebuah syarikat itu tidak bermutu dan berkualiti, agak sukar untuk mendapat kepercayaan pembeli untuk membeli barangan tersebut. Lebih malang lagi jika semua barangannya akan dilabel sedemikian rupa. Usahkan hendak bersaing di pasaran antarabangsa, di tempat sendiri pun tidak diterima.

Tidak dapat dinafikan bahawa penghasilan barangan yang berkualiti dikuatkan daripada penyelidikan dan program pembangunan yang konsisten dan bermutu. Melalui bidang penyelidikan, kualiti sesuatu barangan boleh sentiasa ditingkatkan, bukan sahaja untuk keuntungan perniagaan, malah untuk disebarkan untuk kebaikan ramai.

Oleh itu, remaja Islam wajar meneladani sikap para saintis dan cendekiawan terdahulu dalam menghasilkan sesuatu barangan dan penemuan yang bermutu. Tradisi penyelidikan Islam yang sangat mementingkan ketelitian dan komitmen yang tinggi telah berupaya membangunkan tamadun Islam yang maju suatu ketika dahulu. Dalam pada kita mengagumi ciptaan Barat, kita juga seharusnya berupaya untuk mencetuskan idea-idea dalam acuan kita sendiri.

Di negara kita, banyak peluang yang telah diteroka untuk membangunkan ekonomi umat Islam. Banyak organisasi yang ditubuhkan untuk membantu meningkatkan pendapatan dan merencana langkah-langkah strategik untuk menjana ekonomi umat Islam. Festival Ekonomi Islam yang berlangsung baru-baru ini telah membuka banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk menampilkan produk mereka. Melalui pendedahan sebegini, ruang lingkup perniagaan dapat diluaskan.

Malah, remaja juga boleh didedahkan kepada selok-belok perniagaan supaya suatu hari mereka bakal menghasilkan suatu empayar perniagaan sendiri dan dapat membantu menjana ekonomi umat. Ia juga memberi peluang kepada usahawan-usahawan baru untuk menonjolkan bakat kepimpinan mereka. Idea-idea yang segar dan strategi yang bijaksana boleh ditampilkan daripada remaja agar barangan atau produk tidak hanya terhad kepada pasaran tempatan, tetapi juga terpasar di luar negara.

Kesimpulan

Cinta terhadap Islam bukan sahaja sekadar ritual dan pengucapan, tetapi juga keazaman yang tinggi untuk menjadikan umat Islam umat yang dipandang tinggi dan mulia dan tidak mudah dipijak dan dihina.

Dalam pada kita mengambil langkah untuk memulaukan jenama daripada Barat, kita mestilah bersedia dengan barangan keluaran kita sendiri agar langkah pemulauan tidak hanya bermusim.

Sesuatu produk keluaran, baik dalam bentuk barangan mahupun perkhidmatan sewajarnya diberikan dalam bentuk yang terbaik supaya tertampil dengan jenama dan kualiti tersendiri seperti tingginya nilai agama Islam itu sendiri.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url