Top Ad 728x90

Empangan Chereh benteng banjir di Pahang

Sejak pertengahan tahun lalu, banyak pihak meramalkan Pahang bakal dilanda banjir besar sekali lagi sebagaimana dua tahun lalu.

Bagaimanapun, ramalan tersebut nampaknya meleset.

Meskipun berlaku banjir di sana-sini di beberapa daerah di Pahang pada Disember lalu, ia tidak seburuk berbanding penghujung 2007 dan awal 2008 apabila berpuluh ribu penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir yang berpindah pada hujung tahun 2007 dan awal tahun lalu ialah seramai 39,865 orang daripada 15,225 keluarga.

Dalam tempoh itu, sebanyak 280 pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri.

Lebih buruk lagi, bencana tersebut meragut 11 nyawa yang kebanyakan mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan dibawa arus deras.

Kerajaan pula terpaksa membelanjakan sebanyak RM8.4 juta untuk membantu mangsa dari segi makanan, tempat tinggal, lojistik dan ubat-ubatan.

Berbeza dengan musim tengkujuh kali ini iaitu pada Disember 2008 dan Januari ini, jumlah mangsa yang dicatatkan hanya 3,200 orang yang terpaksa dipindahkan ke 16 pusat pemindahan sementara.

Tidak ada mangsa yang terkorban dalam banjir baru-baru ini.

Apa yang menghairankan, taburan hujan antara dua musim tengkujuh tersebut adalah hampir sama di seluruh negeri.

Jabatan Meteorologi Malaysia mencatatkan taburan hujan di Pahang bagi musim tengkujuh untuk tempoh 1 Disember 2007 hingga 9 Januari 2008 ialah 950 milimeter.

Jurucakap jabatan itu memberitahu, bagi musim tengkujuh yang bermula dari 1 Disember 2008 hingga 9 Januari lalu pula, taburan hujan yang dicatatkan ialah 949.4 milimeter.

Tidak seperti musim tengkujuh lalu, fenomena kali ini mencatatkan hujan yang tinggi bagi tiga hari berturut-turut dengan bacaan 117.4 milimeter pada 1 Januari, 136.6 milimeter (2 Januari) dan 202 milimeter pada 3 Januari lalu.

Menurut jurucakap itu, hujan pada 3 dan 2 Januari lalu adalah yang tertinggi dan kedua tertinggi pada musim tengkujuh kali ini mengatasi taburan tertinggi serta kedua tertinggi bagi musim tengkujuh lalu.

Bacaan tertinggi dan kedua tertinggi pada musim tengkujuh lalu ialah 125 milimeter pada 11 Disember dan 111.2 milimeter pada 10 Disember 2007.

Antara faktor yang menyebabkan banjir pada kali ini tidak seburuk musim tengkujuh lalu ialah kewujudan Empangan Chereh di Sungai Lembing.

Empangan Chereh yang dibina di kawasan tadahan air Hutan Rizab Reman Chereh di Sungai Lembing mula menerima takungan air secara rasmi selepas penutupan pintu airnya dilakukan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pada 29 Julai lalu.

Bagaimana kewujudan Empangan Chereh boleh dikaitkan dengan kejadian banjir yang tidak seburuk musim tengkujuh lalu?

Menurut Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang, Datuk Ismail Mohd. Noor, Empangan Chereh menakung air yang banyak pada musim hujan lalu menyebabkan Sungai Kuantan lagi tidak menerima jumlah air yang banyak.

Keadaan itu menyebabkan Kuantan yang merupakan antara daerah terburuk mengalami banjir tahun lalu terhindar daripada malapetaka tersebut, jelasnya.

Selain sebagai sumber air untuk kegunaan harian, kaat beliau, Empangan Chereh yang bernilai RM76 juta itu berfungsi sebagai penebat banjir.

Sejak pintu airnya ditutup secara rasmi pada Julai lalu, kadar takungan air di empangan seluas 1,620 hektar itu kini mencecah 130 juta meter padu iaitu 50 peratus daripada kadar sebenar.

Menurut perancangan, kata Ismail, empangan itu akan mencapai kapasiti 260 juta meter padu dalam tempoh dua atau tiga musim tengkujuh lagi daripada tarikh pintu airnya ditutup pada Julai tahun lalu.

Jelas beliau, kandungan air empangan itu akan terus dikekalkan pada paras 50 peratus atau 130 juta meter padu bagi memastikan ia mempunyai ruang yang cukup untuk menampung lebihan hujan sekali gus mengatasi kejadian banjir besar di Kuantan.

Timbul tanda tanya, mengapa Sungai Lembing masih mengalami banjir baru-baru ini dan tidak seburuk musim tengkujuh lalu.

Katanya, banjir itu berpunca daripada Sungai Kuantan yang menerima bekalan air dari Hutan Rizab Kuantan sebelum ia mengalir ke Sungai Kenau yang melalui Pekan Sungai Lembing.

Kandungan air yang banyak pada musim hujan baru-baru ini menyebabkan Pekan Sungai Lembing dinaiki air walaupun tidak mencapai tahap kritikal.

''Bayangkan dalam kejadian banjir buruk lalu, banyak rumah tenggelam hingga ke paras bumbung," katanya.

Beliau menambah, Empangan Chereh hanya merupakan penakung air dan tidak ada proses rawatan dijalankan.

Air daripada empangan itu, jelasnya, disalurkan ke Sungai Chereh dan Sungai Kuantan sebelum memasuki ke Rumah Pam Kampung Kobat, Kuantan.

''Dari rumah pam itu, air disalurkan ke Loji Semambu dan Loji Air Bukit Ubi untuk dirawat sebelum disalurkan menerusi paip untuk dibekalkan ke rumah-rumah di Kuantan," katanya.

- Utusan

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90