Gadis Melayu Akhir TV9


Isu kekejaman Zionis di Gaza dan penderitaan penduduk Palestin turut menjadi pilihan salah seorang finalis yang akan berentap merebut gelaran Ikon Gadis Melayu pada pertandingan akhir, malam 15 Januari 2009.

Program realiti yang bakal menobatkan salah seorang daripada lima finalis sebagai Ikon Gadis Melayu akan disiarkan secara langsung menerusi tv9 pada pukul 8.30 malam esok dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Siti Nurashikin Mohd. Nor memilih isu Palestin untuk diketengahkan dalam persembahan kemuncak program Gadis Melayu sesuai dengan isu tersebut yang kini sedang mendapat perhatian seluruh dunia.

Berpasangan dengan Cicik, salah seorang finalis Akademi Nasyid, Siti Norashikin akan membuat persembahan bertemakan masalah di Palestin melalui monolog Warkah Untuk Laila yang dipetik dari filem Qaisy dan Laila.

Persembahan ini dipilih bagi menimbulkan kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya penonton tv9 untuk bangkit menghulurkan bantuan kepada penduduk Palestin yang kini berdepan dengan kesengsaraan dan penderitaan hidup akibat keganasan Israel.

Empat lagi finalis, Khairul Noor Maaidah Ali, 23, Nur Aishah Zainal, 23, dan Noor Afzan Mohd. Afzul Khan, 27, dan Nurul Khusna Uma, 20, juga bakal memberi saingan sengit dalam usaha merebut gelaran Gadis Melayu dengan persembahan mereka yang mantap dan membawa makna tersendiri.

Setiap persembahan berdasarkan hasil pembelajaran yang mereka lalui sepanjang tugasan lapan minggu menyertai program realiti ini sejak Oktober tahun lalu antaranya kebudayaan, warisan, seni tari, agama dan lain-lain.

Semasa raptai yang dijalankan tahap keyakinan kelima finalis tersebut amat tinggi untuk memeriahkan pertandingan akhir dan seterusnya mengangkat martabat gadis Melayu selari dengan era Abad ke-21.

Salah seorang juri, Datuk Profesor Nik Safiah Karim yang turut hadir menyaksikan raptai berharap sesiapa juga yang terpilih sebagai ikon Gadis Melayu, dia bakal menjadi duta gadis Melayu secara global.

"Kita mencari seorang gadis Melayu yang mentah untuk digilap dan dibimbing supaya menjadi contoh dan ikutan gadis muda dalam mengekalkan jati diri dan warisan budaya Melayu tulen,'' katanya.

Menurut Dr. Nik Safiah, berdasarkan program yang telah sampai ke penghujung ini, beliau yakin adunan tugasan yang dibuat oleh penganjur tv9 sepanjang program realiti ini berlangsung ternyata cukup baik dan hasilnya amat positif.

"Kepelbagaian dalam persembahan, kematangan finalis dan komitmen yang mereka tunjukkan membuktikan kesemua finalis mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang bakal meletakkan diri mereka ke persada juara jika nasib memihak kepada mereka malam esok,'' ujar beliau.

Gadis Melayu peringkat akhir akan diadili oleh tiga juri profesional, Toh Puan Seri Diraja Noor Aini Abdullah, Pakar Bahasa dan Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Datuk Dr. Profesor Emeritus Nik Safiah Karim, penceramah agama, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood , perunding motivasi dan penyanyi, Dr. Fazley Yaacob dan pelakon Rahman Stephens.

Diterbitkan oleh Nur Ijuana Mohd. Ishar dan Shukri Ibrahim Gadis Melayu yang bakal dinobat akan membawa pulang hadiah bernilai RM70,000 sementara hadiah saguhati pula RM44,000 termasuk RM1,000 tunai setiap seorang.

Penerbit Eksekutif bagi program ini adalah Nureshah Malek dan Ezzah Aziz Fawzy.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url