Ibu rayu Nurul Akmal pulang


Seorang ibu, Masitah Ibrahim, 50, hari ini merayu kepada pelbagai pihak agar membantu mencari anak perempuannya yang dilaporkan hilang, enam bulan lalu.

Pada hari kejadian, anaknya, Nurul Akma Ismail, 18, tidak pulang selepas keluar ke sekolah.

Masitah yang tinggal di Kampung Bunut Tumpat berkata, setiap hari dia diselubungi kebimbangan terhadap nasib anak keenamnya daripada tujuh beradik itu.

Katanya, kehilangan Nurul Akma, pelajar tingkatan enam rendah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Biji Wangsa itu begitu merunsingkan dirinya kerana sehingga kini tanpa berita diperoleh mengenai anaknya itu.

Menurutnya, dia mengetahui anaknya hilang selepas seorang rakannya datang ke rumah untuk memaklumkan tentang kerja sekolah yang perlu disiapkan kerana Nurul Akma tidak hadir ke sekolah.

''Nurul Akma ketika hari kejadian keluar rumah pada pukul 6.30 pagi dengan membonceng motosikal abang iparnya untuk menunggu bas di jalan utama seperti selalunya kerana rumah agak jauh dari jalan raya," katanya ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya lagi, setelah Nurul Akma tidak pulang dan usaha mencari dilakukan sekitar Tumpat, keesokan harinya, dia membuat laporan polis dan sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenai anaknya itu.

Ditanya sama ada anaknya mempunyai masalah dengan keluarga, Masitah berkata, hubungan mereka sekeluarga adalah amat baik dan tidak mempunyai sebarang masalah.

Bahkan, katanya lagi, rakan-rakan anaknya itu juga mengesahkan Nurul Akma seorang yang pendiam dan tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki termasuk rakan sekelas.

''Selama ini, setiap pergerakannya termasuk jika lewat balik dari sekolah kerana menyertai kelas tambahan atau sebagainya, dia akan memaklumkan kepada saya," katanya.

Sejak kehilangannya, mereka sekeluarga agak murung, manakala bapanya, Ismail Salleh, 58, seorang buruh di sebuah kilang papan tidak lagi dapat memberi tumpuan kepada pekerjaan.

Menurutnya, mereka akan terus berikhtiar mencarinya walaupun telah banyak masa, tenaga dan wang dibelanjakan.

Masitah juga merayu sesiapa yang mengetahui di mana Nurul Akma berada, boleh menghubunginya talian 012-9227037 atau Shafiq di 019-4463407.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url