Janji jelajah seluruh negara balas budi - Wahid Endut
Populariti Mohd Abdul Wahid Endut naik sekelip mata dan mendadak selepas calon PAS itu yang mewakili Pakatan Rakyat memenangi kerusi Parlimen P036 Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 lalu.
Beliau berjaya menewaskan pencabar terdekat dari calon Barisan Nasional (BN), Dato Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon Bebas, Azharuddin Mamat@Adam dengan kelebihan majoritinya 2,631 undi.
Kemenangan tersebut sekaligus membuktikan rakyat di negeri ini juga mahukan perubahan terutama sokongan di kalangan pengundi muda. Namun begitu, disebalik kejayaan tersebut nama Abdul Wahid menjadi sebutan masyarakat setempat terutama di Kuala Terengganu yang diadakan pilihan raya kecil, baru-baru ini.
Harakah dimaklumkan, terdapat sejenis kuih yang dijual Bandar Kuala Terengganu diberi gelaran nama kuih 'Wahid Endut' oleh peniaga terbabit.
Tambahan pula, masih dalam suasana meraikan kemenangan PAS itu setiap hari tidak kurang 10 ekor lembu 'dikorbankan' bagi jamuan kesyukuran oleh Unit-unit Peti Undi (UPU) atau di peringkat cawangan di seluruh negeri.
Manakala, bagi ahli-ahli dan petugas parti yang bernazar turut diadakan upacara bercukur rambut termasuk ada yang menamakan bayi yang baru lahir dengan nama 'idola' tersebut. Namun begitu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut tetap merendah diri serta tidak sombong dengan populariti tersebut kerana menganggap itu adalah kemenangan rakyat.
Beliau selaku Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu itu merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua ahli parti, para petugas sama ada dari dalam dan luar negeri.
Katanya, kesungguhan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bekerja sepanjang tempoh 11 hai berkempen pilihan raya kecil tersebut amat dihargai dan akan dibalas dengan kunjungannya ke semua negeri-negeri terbabit.
"Saya ucap terima kasihlah kepada semua ahli-ahli PAS, KeADILan, DAP dan Kelab Penyokong PAS dari dalam negeri dan luar negeri berkempen untuk memenangkan saya (PAS) dan Pakatan Rakyat.
"Saya berjanji akan berkunjung ke negeri-negeri termasuk di Sabah dan Sarawak yang cukup berminat dan bersemangat datang membantu kita (PAS)," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan siri lawatan ke Kampung Tiong dan Kampung Cina bagi bertemu serta mengucapkan terima kasih kerana menyokong PAS dalam pilihan raya kecil, baru-baru ini.
- Harakah Daily
Satu langkah yang baik