Kemenangan BN bakal bawa pembangunan lebih pesat
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan sejak 50 tahun lalu dan kesan berganda daripada usaha itu kini dinikmati oleh generasi sekarang dan akan datang.
Sehubungan itu, beliau menyangkal dakwaan pembangkang bahawa kerajaan hanya menghulurkan bantuan ketika musim pilihan raya seperti sekarang.
''Sebenarnya kerajaan tidak tunggu pilihan raya saja, kita sentiasa beri bantuan. Saya sendiri tiap-tiap minggu pergi ke kampung-kampung, masuk kawasan Orang Asli, ladang dan kawasan luar bandar.
''Kita sentiasa luluskan bantuan berbilion ringgit untuk faedah masyarakat luar bandar. Kebetulan sekarang masa pilihan raya, kita datang juga. Tak adil jika tempat lain kita pergi, tapi sini (Terengganu) tak datang. Apabila sudah datang kita sampaikanlah bantuan," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan makanan seperti beras, susu dan keperluan lain di bawah Skim Kesejahteraan Rakyat kepada penghuni Rumah Pangsa Bukit Kecil di sini hari ini.
Muhammad meminta pengundi supaya memikirkan soal kepentingan memilih sesebuah kerajaan yang mampu membawa pembangunan ketika mengundi nanti kerana pilihan raya tidak hanya terbatas kepada calon semata-mata.
Menurutnya, negara lain termasuk Indonesia turut mengakui rakyat Malaysia bertuah kerana menikmati pembangunan sejak 50 tahun lalu sedangkan apa yang dilakukan oleh kerajaan hanya mula dilaksanakan oleh negara itu empat tahun lalu.
Dalam pada itu, Muhammad memberitahu, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk pembinaan 17,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara tahun ini.
Katanya, pihak kementerian sedang mengenalpasti penduduk miskin tegar yang layak menerima bantuan rumah berkenaan yang akan diberi secara percuma.
''Kita harap menjelang tahun 2010 masalah penduduk miskin tegar selesai. Kita akan bantu sehingga selesai masalah ini," ujarnya.