Kempen BN melalui Bengkel Motosikal


Hampir 500 penunggang motosikal di kawasan ini tidak melepaskan peluang untuk bersama Juara Expert Cub Prix Kebangsaan, Wazi Abd Hamid yang mengadakan Bengkel Motosikalnya di Kuala Terengganu, hari ini.

Bengkel Motosikal tersebut yang dianjurkan Pemuda Barisan Nasional (BN) di Bilik Gerakan Jenteranya ternyata mendapat sambutan khususnya di kalangan penunggang muda yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama juara kebangsaan tersebut.

Selain mendapatkan khidmat penyelenggaraan, penunggang motosikal yang datang ke bengkel tersebut juga turut mendapatkan khidmat nasihat baik dari segi cara pengendalian motor hingga ilmu untuk menjadi juara.

Menurut Wazi menerusi program yang dianjurkan Pemuda BN ini beliau bukan sahaja dapat berkongsi ilmu dengan penunggang muda motosikal terbabit malah yang lebih penting mengingatkan mereka agar tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti berlumba haram.

Beliau yakin program seumpama ini serta pelbagai lagi aktiviti yang pernah dianjurkan kerajaan akan menyemarakkan lagi minat golongan muda dalam bidang permotoran.

“Ini adalah satu program sihat yang sesuai untuk golongan muda terutama menghindarkan mereka daripada gejala negatif”, katanya.

Bengkel motosikal ini dibuka kepada orang ramai sehingga Jumaat ini.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url