Komentar - Jadilah Muslim berkualiti

Perubahan peradaban manusia berlaku dengan begitu pantas sekali, Islam yang suatu ketika dahulu begitu gemilang dan cemerlang kini jatuh tersungkur di tangan Barat yang pada masa ini mendominasi dunia seluruhnya terutama dari segi ekonomi.

Umat Islam dalam sejarah adalah satu umat yang kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi pada hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri selain dilabel dengan imej yang negatif atau dalam erti kata lain sebagai pengganas.

Berita mengenai keganasan, pembunuhan dan pencerobohan yang dilakukan oleh kuasa besar Barat ke atas umat Islam bukanlah perkara baru. Ia telah berlaku sejak lama dulu, sehingga ke hari ini penindasan ke atas umat Islam masih lagi berleluasa.

Keganasan dan penindasan ke atas umat Islam di negara-negara seperti Palestin, Lubnan, Kosovo, Chechnya, Bosnia dan yang paling hampir dengan negara kita seperti Thailand berlaku begitu berleluasa tanpa pembelaan yang sewajarnya.

Sehingga kini ini entah berapa banyak nyawa yang telah terkorban, harta yang musnah dan air mata yang tumpah membasahi bumi. Peristiwa seumpama ini sungguh mengguris jiwa umat Islam seluruhnya.

Hari ini, ramai di kalangan pemimpin negara Islam bercakap dengan suara yang lantang menyeru agar umat Islam bersatu bagi menyelamatkan negara Islam daripada sebarang bentuk penjajahan. Namun usaha untuk merealisasikannya bukan sahaja begitu kabur, malah tidak bersungguh-sungguh serta tidak jelas dari segi matlamat dan kaedah kesatuan yang mesti dilaksanakan itu.

Ideologi

Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika sebarang bentuk ideologi yang menyesatkan seperti sekularis, komunis, sosialis dan kapitalis masih digunakan oleh pemimpin Islam itu sendiri. Sepatutnya setiap ideologi yang bertentangan dengan Islam perlu ditolak secara habis-habisan oleh seluruh umat Islam.

Jelas jika kita lihat pada masa sekarang kesatuan Islam masih di tahap yang begitu lemah dan keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila umat Islam mengalami masalah dalaman sesama sendiri di dalam negara sendiri di samping masalah luaran dengan negara Islam yang lain.

Negara Islam hari ini, secara umumnya mengalami kelemahan dari pelbagai segi merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Sehingga kini kesatuan dan kekuatan umat Islam secara keseluruhannya masih belum pulih. Perkara ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Kelemahan umat Islam ini juga telah menjadikan kuasa Barat semakin berani menekan dan melakukan pelbagai penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam.

Dalam situasi sekarang pemimpin di negara - negara Islam masih lagi gagal mencapai kata sepakat dalam menangani masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam seperti di Palestin semakin terancam. Mereka juga tidak memahami perkara awlawiyyat (keutamaan) sehingga menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam terabai. Kegagalan ini juga mengakibatkan negara Islam terpaksa tunduk kepada kehendak Barat.

Melihat kepada ancaman ke atas umat Islam hari ini, wajarkah kita sebagai saudara seagama hanya berpeluk tubuh melihat situasi yang menimpa umat Islam masa kini? Realiti yang berlaku ramai di kalangan umat Islam hanya menjadi pemerhati kepada penindasan yang berlaku terhadap Negara umat Islam lain dan tidak kurang juga yang hanya tahu mengkritik dan menghina kelemahan yang ada pada pejuang Islam yang ikhlas berjuang dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Apa yang nyata, sebenarnya kelemahan umat Islam itu sendiri yang menjadi punca kepada musibah yang berlaku, umat Islam telah dijadikan senjata utama untuk menjatuhkan umat Islam yang lain.

Rata-rata kita mengaku sebagai umat Islam, namun setakat manakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai saudara seIslam dalam usaha untuk membantu umat Islam yang ditindas dan apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. (al-Anfaal: 73)

Kini sudah sampai masanya umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah silapnya. Masyarakat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia.

Para pemimpin negara Islam seharusnya bersatu dan memandang ke hadapan di samping mengatur strategi yang efektif ke arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha yang mampu pemimpin Islam lakukan adalah dengan cara memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi, ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah, persaudaraan dan persenjataan umat Islam agar segala bentuk penjajahan yang telah menzalimi, menindas dan menghina umat dapat dihindarkan.

Memboikot

Selain itu, umat Islam perlu berperanan sebagai individu pengguna yang bijak iaitu dengan cara memboikot barangan yang dikeluarkan oleh syarikat Barat yang mengaut keuntungan tersebut untuk menjatuhkan negara Islam. Walaupun usaha ini dilihat sebagai perkara yang remeh, namun jika seluruh umat Islam bersatu hati natijahnya amat besar ke arah mengurangkan sumber ekonomi Barat yang nyata tujuannya untuk membeli senjata bagi meneruskan serangan terhadap umat Islam.

Umat Islam seluruhnya juga perlu kembali kepada fitrahnya iaitu dengan kembali menghayati dan mengamalkan al-Quran dan hadis dengan sepenuhnya. Dalam dunia yang serba moden hari ini walaupun terdapat umat Islam yang kuat imannya, namun tidak kurang juga yang telah jauh terpesong daripada landasan Islam itu sendiri .

Terdapat juga di kalangan mereka hanya Islam pada nama sahaja sedangkan segala kewajipan sebagai orang Islam tidak pernah ditunaikan malahan cara hidup mereka juga sama dengan penganut bukan Islam.

Perkara ini perlu diambil perhatian dengan sewajarnya agar umat Islam pada hari ini dan generasi akan datang menjadi umat yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT serta mantap imannya seperti umat Islam di zaman Rasulullah SAW dan zaman para sahabat baginda.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang beriman. (al-Munafiqun: 8).

Jika perkara ini gagal ditangani di peringkat akar umbinya lagi, maka tidak mustahil suatu masa nanti umat Islam akan menjadi umat yang mundur, dihina dan diperlekeh oleh bangsa asing seperti yang terjadi kepada saudara seIslam di negara yang disebutkan sebelum ini.

Oleh itu sebagai manusia yang dimuliakan dengan akal fikiran dan merupakan khalifah di muka bumi ini, maka jawapannya tepuk dada tanyalah iman dan tanyalah pada diri sendiri siapakah kita, apakah tujuan kita dijadikan dan ke manakah kita akan kembali suatu hari nanti.

Apa yang kita miliki hari ini kuasa, pangkat, dan kekayaan harta benda di dunia ini merupakan pinjaman dan ujian semata-mata, maka pergunakanlah dengan sebaik-baiknya ke jalan yang diredai kerana tanpa bekalan yang secukupnya kita akan kembali kepada Allah dengan keadaan yang papa dan hina.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url