Komentar - SPRM jangan hanya tangkap ikan bilis
Bagaimanapun, kewujudan SPRM harus bertepatan dengan fungsinya yang bebas kerana rakyat tidak lagi mahu perubahan hanya pada nama sahaja tetapi pelaksanaan masih di takuk lama.
Rakyat menaruh harapan menjulang kepada SPRM. Laksanakan tugas demi agama, rakyat serta maruah negara.
Sehingga kini, penularan rasuah politik wang sudah menjadi semakin berleluasa tanpa boleh di bendung sendiri oleh Lembaga Disiplin UMNO. Penularan barah ini kalau tidak diperbetulkan akan menghancurkan bukan sahaja UMNO dan Barisan Nasional (BN), malah negara yang dibina sejak lebih setengah abad ini.
Saya berharap tindakan SPRM itu bukan sahaja di Pahang malah di seluruh negara dalam usaha mempertingkatkan usaha membasmi gejala rasuah politik wang yang berleluasa kini.
Rakyat sudah meluat dengan gejala ini dan sekiranya SPRM gagal melaksanakan amanah itu, kewibawaan dan integriti suruhanjaya itu akan teruk tercemar.
Namun, kita juga berharap SPRM janganlah hanya bertindak terhadap 'ikan bilis' sahaja. Sekiranya mereka yang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden serta Majlis Tertinggi terlibat, mereka juga perlu diberkas dan dibawa ke pengadilan.
Sekiranya ada pemimpin di peringkat menteri sekalipun yang didapati menggunakan ejen-ejen tertentu, adili mereka sewajarnya.
Rakyat sedang "tunggu dan lihat" keberkesanan dan keseriusan kerajaan untuk membanteras gejala rasuah. Bukan sahaja di sektor awam malah juga di kalangan mereka yang bakal menjadi pemimpin negara bagi menghadapi pelbagai cabaran.
Pucuk pimpinan UMNO sendiri harus serius dalam membanteras politik wang. Kita tidak mahu pemimpin yang "cakap tak serupa bikin".
Kalau diimbas kembali, mereka yang pernah dihadapkan ke Lembaga Disiplin UMNO serta berdepan tindakan penggantungan pernah terdiri daripada pemimpin yang terlibat dengan politik wang. Akhirnya mereka ini dilantik semula dengan jawatan penting dalam parti.
Bukankah ini seolah-olah pihak atasan tidak serius serta memberi pengiktirafan kepada pemimpin politik wang?
Inilah yang mengelirukan kita di peringkat akar umbi. Sejauh mana barisan pemimpin tertinggi UMNO serius dalam usaha membanteras politik wang atau sekadar retorik sahaja?
Saya ingin menyarankan agar SPRM memberi sepenuh komitmen dalam masa dua bulan yang kritikal ini kerana soal pemilihan pemimpin merupakan soal integriti serta maruah UMNO.
SPRM boleh menubuhkan satu skuad khas untuk membanteras gejala politik wang dan menyediakan talian bebas tol 24 jam untuk memudahkan rakyat menyalurkan maklumat.
Semoga usaha SPRM dapat memberi harapan serta keyakinan baru kepada seluruh ahli UMNO serta rakyat dalam melahirkan pemimpin yang benar-benar berkebolehan dan bermaruah untuk menggalas amanah rakyat.