Suara Blog

Isu pelantikan Barack Hussein Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) dan kaitannya dengan isu Palestin serta isu S. Kugen, seorang suspek mencuri kereta mewah yang mati dalam tahanan polis menjadi agenda utama penulis-penulis blog hujung minggu ini.

Datuk Seri Mohd. Ali Rustam misalnya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas pelantikan Obama sebagai Presiden ke-44 AS dan berharap beliau mengambil langkah menyelesaikan isu di Palestin.

Blog www.mohdalirustam.com mahukan pentadbiran Presiden kulit hitam pertama AS itu menggesa sekutunya Israel mengundurkan tenteranya dari Genting Gaza.

“Genjatan senjata sahaja tidak mencukupi. Kami menuntut agar Israel dapat mengundurkan tenteranya dari Palestin dan perlu bertanggungjawab atas kematian 1,330 rakyat Palestin dan 5,450 lagi yang tercedera yang kebanyakannya adalah orang awam,” tulis Mohd. Ali.

Shamsul Yunos dalam blognya, marahku.blogspot.com membidas beberapa pihak yang mempersoalkan tindakan orang Melayu memberikan sokongan dan bantuan kepada rakyat Palestin.

Penulis ini berkata, memang benar masalah (Palestin) tersebut berlaku di bahagian lain dunia tetapi manusia boleh memilih apa yang mereka mahu lakukan dan di mana serta bagaimana mereka mahu membantu.

“Orang Islam tersentuh dengan nasib rakyat Palestin, dan kita yang masih kuat perlu membantu mereka. Kita tidak membantu Hamas atau Fatah atau kerajaannya, kita membantu orang awam dengan menghantar bekalan makanan, pakaian dan ubat-ubatan serta lain-lain,” tulis beliau.

Katanya, jika ada yang merasa kuat untuk membantu orang Tamil di Sri Lanka, mereka boleh menghantar pasukan untuk membantu membina sekolah atau menghantar pakaian dan sebagainya kepada penduduk awam di sana.

“Jika anda mahu membantu mereka yang kebuluran di Sudan, lakukanlah, begitu juga di Chechnya,” tegas penulis ini.

Isu seorang suspek curi kereta mewah yang meninggal dunia ketika dalam siasatan polis turut mendapat perhatian kalangan penulis blog.

Banyak penulis menggunakan blog mereka untuk memburuk-burukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran insiden tersebut dan ada yang mengambil kesempatan dengan mempolitikkan isu berkenaan.

Bagaimanapun tulisan Jed Yoong dalam www.jedyoong.com cukup menarik apabila beliau mahukan insiden tersebut tidak dilihat dari sudut perkauman.

Katanya, kes-kes kematian ketika dalam siasatan polis bukan hanya melibatkan kaum India tetapi juga kaum-kaum lain.

“Saya tidak mempunyai statistik di tangan tetapi kaum paling tinggi yang mati dalam tahanan adalah mereka yang paling tinggi melakukan jenayah. Masalah polis bertindak kasar adalah masalah global dan perlu diberi perhatian,” tulis beliau.

Bagi Zabidi Saidi pula, beliau mempersoalkan campur tangan dua timbalan menteri yang sanggup membela suspek curi kereta mewah tersebut.

Dalam blognya, memobelakang.blogspot.com, beliau menulis: “Walaupun ia belum dibuktikan tetapi tindakan polis menahan suspek hendaklah dihormati. Tindakan mereka (timbalan menteri) membela suspek penjenayah adalah satu tindakan yang tidak wajar.”

Beliau yang kesal dengan penglibatan kedua-dua timbalan menteri itu yang dianggapnya cuba menjadi hero, telah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertindak tegas terhadap mereka kerana mengganggu tugas polis.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url