Orientalis Barat ada niat tersirat menyesatkan umat Islam

Umat Islam kini berdepan dengan serangan secara terancang sama ada secara fizikal dan minda. Usaha musuh untuk menjatuhkan Islam dan menyesatkan umatnya ini tidak pernah luntur sejak sekian lama. Mereka akan melakukan apa saja bagi memastikan Islam dan umatnya terus berada di landasan yang salah dalam melaksanakan propaganda supaya arahan, kewajipan dan amalan agama diragui dan ditinggalkan penganutnya sendiri.

Ini yang sedang dan sudah dilakukan golongan bijak pandai bukan Islam. Golongan orientalis yang secara ilmiah dan melalui hujah akademik menyerang pemikiran masyarakat Islam supaya mereka berasa sangsi dan tidak yakin dengan segala ajaran serta tuntutan agama yang disyariatkan.

Keadaan ini kesinambungan dan bukti bahawa sejak dulu, orientalis komited menyerang agama Islam melalui tulisan dan perbincangan akademik sama ada dalam atau luar pusat pengajian tinggi yang boleh didapati di dalam banyak saluran seperti tesis, buku, jurnal, majalah dan tulisan di internet.

Serangan golongan orientalis dan pendokongnya terdiri daripada kalangan intelektual dan sarjana adalah dalam pelbagai bentuk dan saluran termasuk mempertikaikan kesahihan kitab suci al-Quran serta terjemahannya; riwayat hadis, sunnah dan sirah Rasulullah; mempersenda tradisi penulisan buku ilmiah karangan ulama muktabar; tidak relevan kaedah fiqh dan sebagainya.

Melalui metodologi ilmiah, wacana, dialog dan penulisan akademik. Mereka cuba menimbulkan keraguan, kelemahan dan mencari kesilapan atau kelonggaran yang mungkin berlaku dalam penulisan karya agung ulama dan pemikir Islam terdahulu di mana keadaan ini sedikit sebanyak turut mempengaruhi budaya, pemikiran, tindak tanduk, kritikan dan kepercayaan sebahagian umat Islam yang terdedah dengan agenda mereka secara sedar atau sebaliknya, terutama melalui pembacaan bahan penulisan atau penerbitan dalam dan luar negara.

Menurut Dr Atikullah Abdullah dalam makalah bertajuk Orientalis Timbulkan Was-Was Terhadap Islam, perkataan orientalis mempunyai banyak makna dan menurut sarjana besar seperti Edward W Said dalam magnum opusnya Orientalism di mana orientalis merujuk kepada sesiapa saja khususnya orang Barat yang mengajar, menulis atau mengkaji mengenai hal ehwal Timur.

Dalam pengertian khusus, orientalisme lebih merujuk kepada gerakan pengkajian hal ehwal Islam dan masyarakat Muslim oleh orang Barat sama ada dengan tujuan ilmiah semata-mata atau keagamaan dan politik. Terdapat pelbagai tujuan dan misi gerakan orientalis ini yang antaranya meliputi aspek keagamaan, akademik, perniagaan, ekonomi dan politik.

Menurut Mahmud Hamdi Zaqzuq pula, orientalis adalah mereka yang mengkaji Islam atas nama akademik tetapi terselit niat jahat untuk memasukkan jarum mereka bagi mengelirukan masyarakat Islam mengenai agama mereka dan golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kakitangan gereja.

Ada orientalis yang hanya mencari upah membuat kajian untuk kepentingan negara mereka sama ada dari segi ekonomi, penjajahan politik dan sebagainya. Keadaan ini banyak berlaku ketika zaman penjajahan ketika emperialisme British dan Belanda.

Golongan ketiga ialah orientalis yang mengkaji Islam secara objektif dan mereka berpegang kepada prinsip akademik yang hanya berminat mencari fakta kebenaran seperti Edward William Lane yang menghasilkan kamus Arabic-English Lexicon diiktiraf sebagai sangat berautoriti dalam nahu Arab dan dirujuk oleh pakar nahu Arab sendiri.

Di samping itu, orientalis AJ Wensink menghasilkan Mu’jam al-Hadith al-Nabawiyy iaitu sebuah karya lengkap dan sangat bermanfaat untuk pengkaji dan pencari asal-usul sesuatu hadis. Namun begitu, sebahagian besar mereka dilihat aktif memainkan peranan meracuni pemikiran umat Islam agar tidak kuat berpegang kepada ajaran Islam, jika tidak meninggalkannya terus.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url