Pameran Kerjaya dan Latihan Malaysia 2009 (MCTF’09) bantu graduan, profesional dapat kerja

Pameran Kerjaya dan Latihan Malaysia 2009 (MCTF’09), yang berlangsung baru-baru ini berjaya membantu graduan muda, profesional dan orang ramai mendapat pekerjaan walaupun negara mengalami krisis ekonomi global.

Menerima lebih 130,000 pengunjung, pameran tiga hari di Pusat Pameran Mid Valley, disertai lebih 130 majikan yang menawarkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi maklumat, perbankan, kejuruteraan dan sumber manusia.

Pameran itu dianjurkan JobStreet.com dan AIC Exhibitions Sdn Bhd.

Pengurus Operasi Pemasaran JobStreet.com, CM Vignaesvaran, berkata tahun ini buat pertama kalinya, pihaknya mengendalikan klinik kerjaya dan biodata diri, dengan pengunjung diberi khidmat nasihat percuma mengenai kaedah membuat resume.

Penganalisis Pengurusan Sumber Manusia Maybank, Rizleen Mustafa, berkata walaupun tahun ini adalah pembabitan pertama Maybank dengan JobStreet.com, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Maybank menawarkan pelbagai bidang pekerjaan untuk graduan sama ada mereka warga tempatan atau warga asing. Kami turut mengendalikan Program Pengurusan Berkaitan, dengan fokus kepada mereka yang mempunyai latar belakang dalam bidang bukan perbankan dan kewangan seperti bidang kejuruteraan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Jurutera Intel Microelectronics, Kalai Selvan Subramaniam, berkata syarikatnya kini mencari bakat baru dalam bidang teknologi maklumat, reka bentuk cip dan perisian komputer serta bidang penyelidikan dan pembangunan.

“Kami menerima banyak permohonan pekerjaan dan mereka yang layak akan menghadiri temu duga di dua ibu pejabat kami iaitu di Pulau Pinang dan Kulim,” katanya.

JobStreet.com turut memperkenalkan talian hotline bagi membantu pekerja yang dibuang akibat kemelesetan ekonomi negara.

Orang ramai boleh melayari www.jobstreet.com.my/RetrenchHelp untuk maklumat lanjut mengenai talian berkenaan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url