Demam Akademi Fantasi (AF7) bermula

Dianggarkan lebih 2,000 orang membanjiri uji bakat pertama Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) di lokasi sulung pencarian program realiti tersohor ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, 17 dan 18 Januari lalu.

Seawal jam tujuh pagi lagi, perkarangan stadium itu dipenuhi dengan manusia yang ingin mencuba nasib dalam misi bergelar bintang AF7. Permulaan baik kepada program yang sudah berusia tahun ketujuh, namun pada hari pertama prestasi peserta yang hadir amat mengecewakan. Bagaimanapun, ini hanyalah uji bakat pembukaan dan ia akan berterusan di negeri Johor Bahru, Sabah, Sarawak dan kembali ke Kuala Lumpur.

Hal ini diakui sendiri aktivis teater dan pelakon Fatimah Abu Bakar yang ditemui Hip pada hari pertama uji bakat ini berlangsung. Menurutnya, boleh dibilang dengan jari saja, kelibat peserta yang menyerlah.

Seperti yang sedia maklum, uji bakat kali ini turut membuka peluang kepada warga negara Singapura dan artis yang berminat diuji bakat. Bagi Fatimah yang juga pernah menjadi tenaga pengajar AF, dia melihat syarat itu sebagai perkembangan sihat dan tidak perlu menjadi isu.

"Sepatutnya peserta yang datang kali ini sudah tahu konsep program ini. AF sudah musim ketujuh, lalu apabila datang uji bakat, mereka perlu membuat persediaan rapi.

"Tahun ini, masih ada yang datang dengan bersedia satu lagu wajib saja tanpa mempersiapkan diri lagu alternatif. Jangan hanya cakap tak serupa bikin seperti tidak tahu apa yang dikehendaki dalam pertandingan ini.

"Saya lebih mengharapkan bakat di Malaysia dulu yang diutamakan, namun demi kelainan tak salah jika peserta daripada Singapura mahupun yang sudah bergelar artis diberi peluang dan menambahkan sengit. Kalau sudah tidak bagus, tidak kiralah anda artis atau daripada negara manapun, anda tetap tidak akan dikatakan bagus. Inilah cabaran yang perlu dihadapi peserta daripada Malaysia," katanya.

Tambah Fatimah lagi, uji bakat kali ini dijalankan dengan lebih segera dengan harapan dapat menjimatkan masa, sekali gus mengurangkan situasi di mana peserta hanya 'disuap' dan dikasihani.

"Cukup hal itu kerana kita mahu mencari peserta yang betul-betul berkualiti dan menarik," katanya lagi.

Selain Fatimah, turut menjadi juri di bilik saringan ketiga ialah guru vokal, Syafizawati Sharif (Syafi).

Dalam sesi uji bakat ini, setiap peserta harus mengikuti empat proses saringan. Peserta perlu melalui tahap satu dan dua, dengan menyanyikan lagu secara acapella (tanpa iringan muzik), tahap ketiga, membuat persembahan lagu wajib (pilihan) diiringi muzik dan menari. Manakala tahap terakhir , peserta diberi ujian bertulis untuk menyerlah personaliti yang ada.

Dalam pada masa yang sama, Ida Nerina, Mok Search, Edrie Hashim, Nurul Huda, Syaiful Rizal Kamarudin dan Fatimah Ismail turut menggalas tugas sebagai juri uji bakat pada tahun ini.

Seperti tahun lalu, Syafi memberitahu potensi orang dan kualiti yang sama datang pada uji bakat sebelumnya akan berulang. Mengerti mereka yang datang tidak berpengalaman tetapi katanya, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak membuat persediaan rapi.

"Sekali pandang, juri pasti dapat jangka sama ada peserta itu akan lepas ke peringkat seterusnya atau tidak. Peserta bukan hanya diadili daripada aspek nyanyian, malah yang berkarakter dan bersikap positif.

"Jika menyanyi pada paras sederhana sekalipun tetapi bijak, tenaga pengajar boleh mempertajamkan kemahiran itu," katanya.

Sementara itu, ketika tinjauan pada hari pertama uji bakat dijalankan, tiada perkara menarik yang berlaku. Malahan penantian warga Singapura yang datang untuk uji bakat juga tiada.

Kemungkinan warga Singapura akan turun ke lokasi berikutnya iaitu di Johor Bahru. Bagaimanapun, Hip difahamkan pelakon Iqbal drama Sofea Zahra antara yang hadir menjalani uji bakat ini.

Nor Saleha Mohd Salleh turut mengikuti jejak Mama Rina. Bakal menginjak usia 40 tahun pada Mac ini, ibu kepada dua orang anak ini menemani adiknya datang ke uji bakat, namun dek minatnya terhadap dunia seni, dia menguji nasibnya.

"Saya ambil kesempatan ini untuk menunjukkan bakat yang ada. Sebelum ini pun saya pernah menyertai Bintang Klasik RTM pada tahun lalu, namun gagal. Mungkin irama lama tidak bersesuaian dengan suara saya.

"Saya selalu juga menyanyi di Bora Ombak, Ampang dengan persembahan band secara langsung. Soal usia hanya satu perkara subjektif, saya lakukan ini atas dorongan minat dan apa yang ditunjukkan Mama Rina," katanya yang memilih lagu Kalis Rindu.

Promoter dari Semporna, Sabah, Mohamad Shan Shahadan, 24 pula tidak serik untuk terus mencuba walaupun empat tahun menyertai uji bakat AF.

"Belum ada rezeki saya terpilih dalam AF. Selain AF, saya pernah mencuba bakat di pertandingan Mentor, Gang Starz, My Star LG, Bintang RTM dan One In A Million.

"Saya mula menyertai uji bakat AF sejak musim keempat dan musim berikutnya saya sanggup menyertai uji bakat di Kuala Lumpur dan Sabah. Selagi saya tak berjaya, tiada istilah serik. Saya lakukan ini semua kerana minat," katanya.

INFO: Lokasi uji bakat

Johor: The Zon Regency Hotel, Johor Bahru 24 - 25 Jan


Sabah: 1Borneo South Atrium, Kota Kinabalu 30 - 31 Jan & 1 Feb


Sarawak: Enter K Entertainment, Crown Tower, Kuching 31 Jan & 1 Feb

Kuala Lumpur: Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur 7 - 8 Feb


Kaunter pendaftaran bagi setiap sesi uji bakat dibuka dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari dan peserta digalakkan hadir awal bagi mengelakkan kesesakan. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) dan menyanyi secara acapella lagu-lagu pilhan seperti berikut:


Lagu-lagu pilihan untuk peserta wanita:
1. No One (Alicia Keys) R&B
2. Kalis Rindu (Elyana) R&B
3. Dikir Puteri (Noraniza Idris) Irama Malaysia
4. Karma (Cokelat) Pop
5. Tari Silat Melayu (Aishah) Irama Malaysia



Lagu-lagu pilihan untuk peserta lelaki:
1. Angan dan Sedar (Mawi) Pop
2. You Raise Me UP (Josh Groban) R&B
3. Ketelusan Hati (Anuar Zain) Balada
4. Hanya Engkau Yang Mampu (Aizat) Balada
5. Ada (M.Nasir) Irama Malaysia

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url