PAS Saran SPR Mansuh Undi Pos

PAS menyarankan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan undi pos dalam kalangan polis dan tentera walaupun memuji langkah SPR membenarkan ejen calon hadir di tempat mengundi pos bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali berkata saranan itu dibuat memandangkan undi pos tidak lagi relevan kepada anggota keselamatan terbabit kerana mereka tidak lagi perlu bertugas di perbatasan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa undi pos masih boleh dijalankan khususnya untuk petugas-petugas SPR yang perlu bertugas pada hari pengundian serta pengundi yang berada di luar negara.

"Dulu, undi pos ini kerana tentera dalam operasi melawan komunis dan pengganas, dia orang tiada di kuarters. Sekarang ini tidak ada lagi. Mereka berada di kuarters," katanya kepada pemberita di Markaz Tarbiyyah PAS di Kuala Ibai di sini hari ini.

Katanya anggota keselamatan berkenaan kini boleh melaksanakan tugas mengundi seperti pengundi yang lain di pusat pengundian yang disediakan.

Semalam, SPR buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya membenarkan ejen calon yang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ditempatkan di tempat mengundi undi pos.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata tindakan itu untuk membuktikan ketelusan SPR dan memastikan semua pihak yang bertanding berpuas hati dengan perjalanan proses undi pos.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url