Penempatan haram Yahudi meningkat 60%
Laporan oleh kumpulan pemantau Peace Now yang disiarkan hari ini, menunjukkan sekurang-kurangnya 1,257 bangunan dibina sepanjang 2008 berbanding 800 pada tahun sebelumnya.
Malah terdapat 63 projek pembinaan haram yang baru sedang diusahakan oleh pendatang Yahudi.
Jumlah penempatan haram yang tidak dibenarkan kerajaan ini meningkat dua setengah kali lebih banyak dengan 261 struktur baru tahun lalu berbanding 98 pada 2007.
“Perluasan kawasan berterusan dan penduduk tidak perlu menunggu tindakan Bibi,” demikian menurut laporan Peace Now yang merujuk kepada pemimpin pembangkang, Benjamin Netanyahu yang dikatakan bakal menjadi Perdana Menteri apabila berjaya memenangi pilihan raya pada 10 Februari nanti.
Pembinaan di kawasan jajahan Zionis di timur Baitulmaqdis juga meningkat terutama selepas rundingan damai di Annapolis pada November 2007 yang menyaksikan Israel dan Palestin secara rasmi melancarkan semula usaha damai.
Sebanyak 2,730 projek pembinaan juga diluluskan tahun lalu, berbanding hanya 391 pada 2007.
Penempatan haram Yahudi adalah antara isu sensitif dalam konflik Israel- Palestin. Laporan terbaru ini disiarkan ketika utusan damai AS yang baru, George Mitchell tiba di rantau itu bagi mengusahakan rundingan damai.
– AFP