Tak akan sertai semula UMNO - Nasaruddin (ADUN Bota)

''Insya-Allah tidak (masuk UMNO semula),'' kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.

Keputusan tersebut, tegas beliau, kekal walaupun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali telah membayangkan hasrat untuk melepaskan jawatannya dalam masa terdekat.

Nasaruddin berkata, beliau bersetuju dengan tindakan Tajol Rosli itu namun ia sama sekali tidak akan mengubah pendiriannya.

''Saya setuju dengan tindakannya (Tajol Rosli). Itu adalah keputusan dia, buatlah apa yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Pejabat Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Nasaruddin menjelaskan, beliau telah menyerahkan borang keahlian PKR pada hari yang sama ketika mengisytiharkan meninggalkan UMNO dan BN.

''Saya juga telah menyerahkan borang keluar UMNO pada keesokan harinya (Isnin)," katanya.

Ditanya apakah reaksi pengundi-pengundi di kawasan Bota berhubung tindakannya itu, beliau mendakwa ramai yang bersetuju dengan tindakannya.

''Ramai yang bersetuju dengan keputusan yang saya buat dan saya akan turun memberi penjelasan," katanya.

Nasaruddin juga ditanya benarkah beliau ditawarkan jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, selepas menyertai parti itu Ahad lalu, pucuk pimpinan PKR tidak mengeluarkan sebarang tawaran jawatan kepadanya.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, keputusan menyertai mana-mana parti politik adalah hak masing-masing.

Pihaknya, tegas beliau, tidak pernah berusaha menarik atau mengugut mana-mana ADUN BN untuk menyertai pakatan pembangkang.

Tegas beliau, BN sepatutnya menghormati keputusan Nasaruddin dan mereka tidak perlu mengusik atau mengganggu wakil rakyat itu kerana ia perbuatan yang tidak demokratik.

''Kalau ada ADUN BN hendak lompat parti, kita kena hormati keputusan mereka dan janganlah ditekan dan diugut. Nasaruddin secara ikhlas dan niat suci hendak berkhidmat bersama pakatan pembangkang tanpa ada apa-apa syarat.

''Tak timbul apa-apa jawatan (yang ditawarkan), ia niat suci ikhlas. Ini satu perubahan yang tinggi nilainya kerana ia satu pengorbanan Nasaruddin yang sudah lama dalam UMNO dan kita mengalu-alukan kehadirannya," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url