Pengajaran di sebalik Palestin
Tidak dinafikan serangan ini sememangnya telah dirancang teliti oleh Israel. Serangan ini dari awal lagi sangat berat sebelah dengan pelbagai kelengkapan peperangan yang canggih merangkumi laut, udara dan darat digunakan Israel untuk menewaskan musuhnya yang langsung tidak setanding.
Pejuang Hamas hanya mampu melancarkan serangan balas yang sangat tidak seimbang serta taktik serangan gerila yang dilihat lebih efektif ketika dalam ruang yang sempit.
Pasukan tentera khas Israel dengan sokongan kereta kebal dan jet pejuang, terus mara di beberapa kawasan kejiranan di selatan Gaza, namun pejuang Palestin hanya mampu menghalang dengan bom, serangan mortar dan senjata api yang ketinggalan zaman.
Angka korban meningkat lebih 1,200 orang dengan lebih 335 kanak-kanak dan 100 wanita terbunuh. Jumlah mereka yang cedera melibatkan lebih 5,000.
Genting Gaza berdepan dengan lebih 60 bedilan udara yang disasarkan ke atas tapak pelancaran roket, kemudahan simpanan senjata, bangunan milik Hamas dan terowong rahsia yang menghubungkan sempadan Gaza dengan Mesir.
Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh menegaskan bahawa pejuang Palestin yang terbunuh dalam konflik ini akan menjadi "sumpah yang akan menghantui" Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush untuk seumur hidupnya. Setakat ini, sekitar 400 penduduk Palestin yang terkorban ialah wanita dan kanak-kanak dan golongan tua.
"Kita sedang menuju ke arah kemenangan. Darah yang mengalir tidak akan tumpah dengan sia-sia kerana ia akan membawa kemenangan. Insyallah," kata Ismail.
Sampai bilakah kekejaman Yahudi ini akan berterusan. Berapa banyak lagikah nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa akan melayang begitu sahaja? Mereka hanya mentertawakan kita dari puncak kuasa tentang usaha kita yang hanya mampu merusuh, berdemontrasi dan memungut derma.
Konflik di Gaza ini sesungguhnya tiada jalan lain untuk penyelesaiannya melainkan umat Islam itu sendiri yang perlu menanganinya.
Kita sememangnya tidak boleh bergantung harap kepada sekutu yang juga pelindung utama Israel, AS dan negara-negara Barat malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana semua negara ini umpama kuda tunggangan Yahudi.
Negara kuasa besar dunia bagaikan tidak mempunyai kemampuan untuk bertindak. Negara-negara Islam sendiri hanya mampu mengutuk tindakan biadap Israel yang disokong sekutunya Amerika Syarikat.
Setakat ini tiada sebarang petanda perang berat sebelah ini akan berakhir, namun apa yang pasti Israel akan menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk melumpuhkan Hamas dan dan Palestin.
Mungkin perang ini akan berakhir sebaik matlamat Israel tercapai, tetapi apakah demi mencapai matlamat itu, darah penduduk Palestin yang mengalir dianggap sebagai sia-sia dan dibiarkan begitu saja.
Namun itulah hakikatnya, kekejaman Yahudi ini tidak akan berhenti sehingga matlamat mereka untuk menubuhkan negara Israel merdeka di atas bumi Palestin yang dirampas tercapai. Sesungguhnya semua ini memberi pengajaran yang sangat berguna kepada semua umat Islam bahawa apa yang berlaku di Palestin ini menunjukkan hakikat kelemahan kita.
Bukan kerana Israel terlalu kuat atau berkuasa, namun kita sebenarnya terlalu lemah sehingga maruah kita boleh dipijak bukan sahaja dari segi ekonomi, ketenteraan atau kuasa politik tetapi yang paling utama kita sangat ketinggalan dalam hal penguasaan ilmu.
Sudah sampai masanya untuk kita mengambil contoh Yahudi yang sangat bersatu dalamlmempertahankan agama dan bangsa mereka sebagai senjata untuk kita bangkit kembali selain menguasai sumber ilmu.
Dekad lepas merupakan zaman gelap bagi umat Islam kerana pelbagai peristiwa sukar berlaku, namun jika kita masih belum sedar dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku terutama dengan apa yang berlaku di Palestin, adalah tidak mustahil kita akan terus dilingkari kegelapan sebegini untuk tempoh sedekad lagi.