Pilih parti bukan individu

Oleh Zulkiflee Bakar
(Wartawan utusan)

Mungkin bagi sesetengah pihak pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut sebagai calon Pas bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu dianggap satu kejutan.

Tetapi bagi mereka yang memahami kemelut yang berlaku dalam parti itu bagi menentukan calon dalam pilihan raya kecil kawasan berkenaan pada 17 Januari nanti, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Ia kerana pemilihan Abdul Wahid dianggap jalan tengah bagi mengelakkan perpecahan berlaku dalam parti tersebut berikutan tercetusnya 'perbalahan' antara puak yang menyokong ulama dengan kumpulan Erdogan dalam Pas.

Bagi puak Erdogan mereka mahukan sama ada Mohamad Sabu atau ADUN Batu Buruk, Syed Azman Syed Ahmad dipilih manakala bagi satu puak lagi, calon yang mereka inginkan antara Datuk Mustafa Ali dan Datuk Wan Mutalib Embong.

Malah penulis difahamkan, langkah Pas menunda tarikh pengumuman calon yang dijadualkan pada 21 Disember lalu kepada kelmarin juga ada kaitannya dengan 'perbalahan' ini.

Walaupun Pas mendakwa mempunyai ramai calon yang berwibawa untuk diketengahkan sehingga sukar menentukan siapa yang paling layak tetapi hakikatnya ia hanyalah satu kenyataan untuk menyembunyikan pergolakan yang berlaku.

Apatah lagi sehingga saat akhir, hanya tiga nama sahaja disenarai pendekkan tetapi akhirnya yang muncul ialah nama Abdul Wahid. Ternyata sekali Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat terlalu berhati-hati dalam pemilihan calon kali ini.

Jika sebelum ini, Pas begitu bangga menyatakan mereka tidak ada masalah dalam menentukan calon tetapi senario yang berlaku di Kuala Terengganu adalah berbeza.

Abdul Hadi harus bersikap demikian kerana pilihan raya kecil ini dianggap penting bagi mempertahankan maruah Pas Terengganu serta mengelakkan puak Erdogan menyebarkan dakyah bahawa kepimpinan ulama sudah ditolak oleh rakyat jika Pas tewas.

Oleh itu setelah membuat pelbagai perkiraan dan bagi mengelakkan sebarang masalah, Abdul Hadi yang dianggap mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan calon memilih Abdul Wahid yang sudah lima penggal menjadi ADUN di kubu kuat Pas, Wakaf Mempelam.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Pas yang dihubungi penulis terkejut dengan pemilihan Abdul Wahid. Ia kerana sebelum ini dalam pertarungan di Kuala Terengganu mereka mahu mengelak daripada meletakkan calon bertaraf YB seperti Abdul Wahid atau Syed Azman.

''Kami bimbang apa yang berlaku kepada calon BN di Permatang Pauh akan berulang di Kuala Terengganu,'' kata seorang pemimpin muda Pas yang menghubungi penulis sebaik sahaja pengumuman calon dibuat oleh Abdul Hadi di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.

Tetapi kepimpinan Pas mungkin mempunyai alasan lain, mereka tidak mahu pergolakan berlaku kerana Kuala Terengganu dianggap cukup penting bagi menggambarkan kekuatan sebenar Pas di Terengganu.

Atas sebab itulah ketika berucap dalam satu majlis baru-baru ini, Abdul Hadi mengingatkan ahli Pas yang faham serta mendukung perjuangan Islam perlu mentaati arahan kepimpinan yang dibuat secara kolektif dan syura.

''Taat diwaktu senang dan susah. Mentaati dalam semua keadaan. Setuju kita taat dan tidak setuju pun kita taat. Apa sahaja arahan yang diberi oleh pemimpin.

''Jika tahu calon dahulu baru hendak taat, itu bukan ajaran dari Allah SWT. Kita tidak menang jika ada golongan macam ini dalam Pas. Jika hendak dengar amanat? kena taat dan patuh," tegas Abdul Hadi.

Kenyataan beliau itu dengan jelas menampakkan bahawa ada kerisauan bahawa calon yang bakal dipilih oleh Pas mungkin tidak akan disenangi di kalangan orang Pas sendiri.

Pas sudah belajar daripada pengalaman pilihan raya umum lalu apabila ada penyokong Pas sanggup merosakkan undi semata-mata tidak bersetuju dengan calon yang dipilih.

Memilih

Persoalannya, mampukah Pas Terengganu berhadapan dengan puak Erdogan dalam parti itu yang mungkin tidak akan sesetia mana?

Apa pun Abdul Hadi sudah membuat keputusan dengan memilih Abdul Wahid sebagai calon. Abdul Wahid, 52 tahun adalah lulusan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dalam bidang perikanan dan sains marin.

Abdul Wahid dianggap sebagai anak didik Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali kerana kerusi Wakaf Mempelam yang beliau wakili kini adalah kerusi yang dimenangi oleh Mustafa pada tahun 1982.

Bagi ahli-ahli Pas yang menyokong kepimpinan ulama, mereka menganggap Abdul Wahid adalah calon yang paling sesuai berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Abdul Wahid dikatakan seorang pemimpin yang dianggap kurang musuh politik. Berbanding calon lain Pas, Abdul Wahid dilihat sebagai individu yang tidak kontroversi.

Latar belakang Abdul Wahid ini sudah tentulah memastikan pertarungan merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu akan menjadi bertambah sengit.

Pemilihan Abdul Wahid sekali gus memberi isyarat kepada BN terutama calonnya Wan Ahmad Farid untuk bekerja lebih keras lagi bagi meraih sokongan.

Buat masa ini, pemimpin-pemimpin Pas begitu yakin bahawa mereka sudah memilih calon yang tepat dan percaya Kuala Terengganu akan jatuh ke tangan pembangkang.

Keyakinan itu berasaskan bahawa keampuhan mereka di DUN Wakaf Mempelam akan terus kekal manakala di DUN Ladang dan Batu Buruk pula, Pas yakin akan terus meraih sokongan.

Malah Pas juga percaya pengundi bukan Melayu yang mungkin menjadi pengundi penentu akan turut menyebelahi mereka. Semua ini sudah tentulah harus memberikan kesedaran kepada BN bahawa laluan getir menanti mereka.

Kita sememangnya tidak berhajat menolak fakta sebelum ini yang membuktikan bahawa personaliti seorang calon turut memainkan peranan penting. Ini jelas apabila penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada BN, Allahyarham Datuk Razali Ismail dikatakan meraih undi atas sifat peribadinya dan bukan kerana parti.

Berbanding Abdul Wahid yang tetap akan bergelar YB, Wan Ahmad Farid akan turun ke gelanggang dengan mempertaruhkan segala-galanya. Jika tewas beliau akan menjadi penganggur terhormat dan hanya akan menyandang jawatan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu.

Justeru sudah pastilah Wan Ahmad Farid akan berusaha bersungguh-sungguh di samping mengharapkan sokongan padu rakan-rakan dalam BN.

Setakat ini kehadiran beliau yang turun menemui rakyat lebih awal sebelum kempen rasmi bermula dikatakan mendapat maklum balas yang baik. Wan Ahmad Farid sedikit sebanyak sudah melakukan kerja awal untuk memperkenalkan diri.

''Selain itu kita lihat sayap-sayap parti juga bersungguh-sungguh termasuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang bergerak seolah-olah beliau yang menjadi calon.

''Semua ini adalah petanda baik kepada BN dan jika momentum ini dapat dikekalkan, ia sudah tentu akan memberi peluang kepada BN mengekalkan kerusi itu tanpa mengira sehebat mana pun calon Pas,'' kata seorang pemimpin UMNO negeri ketika dihubungi.

Apa pun kini sudah rasmi Wan Ahmad Farid akan bertarung dengan Abdul Wahid, kedua-dua mereka memegang jawatan di peringkat bahagian.

Siapakah yang akan dipilih menjadi Ahli Parlimen, hanya pengundi yang akan menentukan tetapi apa yang pasti pertarungan di Kuala Terengganu bukanlah untuk mengangkat martabat mana-mana individu sebaliknya gelanggang untuk memilih parti mana paling layak membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Jika ini diambil kira maka kesinambungan penguasaan BN di kawasan itu perlu diteruskan.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url