Sindiket pindah wang ke Indonesia
Ada mangsa menerima panggilan yang memperalatkan mereka supaya menjalankan pindahan melalui mesin juruwang automatik (ATM) dan terdapat juga mangsa yang mendakwa simpanan mereka tiba-tiba lesap ke Indonesia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Biro Pengaduan Awam (BPA), T. Murugiah berkata, sebuah bank di negara ini mengakui tentang kejadian tersebut dan dijangka memperkenalkan sistem keselamatan lebih ketat pada bulan depan untuk mengelak lebih ramai penabung menjadi mangsa sindiket penipuan dari Indonesia.
‘‘Mangsa tidak didekati penipu, tidak menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penipu dan langsung tidak membuat apa-apa pindahan terhadap simpanannya tetapi wang dalam bank tiba-tiba lesap.
‘‘Setakat ini, BPA telah menerima beberapa aduan seumpama itu dan pihak saya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Murugiah pada masa sama tidak menolak kemungkinan pindahan wang ke Indonesia mungkin melibatkan pegawai bank sendiri atau membabitkan pencerobohan dalam sistem perbankan Internet.
‘‘Mungkin ada orang dalam, kita serahkan kepada siasatan polis.
‘‘Sindiket pindahan wang ke Indonesia sebenarnya telah berlaku sejak 2006 dan polis menangkap 40 orang di Sabah pada 2006,” katanya.
Menurutnya, berlainan dengan segelintir mangsa yang kehilangan simpanan secara tiba-tiba, ada mangsa pula mendakwa diperalatkan untuk melakukan pindahan melalui ATM.
‘‘Mangsa ini pada mulanya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa mereka telah memenangi sejumlah hadiah wang tunai dan meminta mangsa membuat panggilan untuk menebus hadiah.
‘‘Penjenayah seterusnya melalui perbualan telefon meminta mangsa menekan butang- butang tertentu pada ATM. Walaupun mereka tidak menekan butang pindahan wang atau menekan nombor akaun tetapi simpanan mereka dipindahkan secara tiba-tiba.
‘‘Ini bermakna penjenayah telah bangunkan sistem yang tersendiri. Pindahan yang dijalankan juga melebihi had pengeluaran RM5,000 yang ditetapkan oleh bank,” katanya.
Murugiah berkata, mangsa sindiket pindahan wang boleh membuat permohonan kepada bank supaya simpanan mereka yang dipindahkan secara tidak sah dipulangkan semula oleh bank.
‘‘Mangsa yang kehilangan simpanan di bank secara tiba-tiba boleh membuat tuntutan melalui bank dan pihak bank akan menjalankan siasatan.
‘‘Bagi kes di mana penabung diperalatkan untuk memindahkan wang melalui mesin ATM, saya tidak pasti sama ada pihak bank dapat memberi ganti rugi atau tidak,” katanya.