Polis Gagalkan Perhimpunan Di Jalan Bukit Kecil

Polis menggagalkan satu "perarakan" penyokong sebuah parti politik melibatkan 30 orang di Jalan Bukit Kecil di sini malam tadi kerana bimbang ia mengganggu ketenteraman awam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan bagaimanapun berkata tiada tangkapan dibuat terhadap individu yang mengambil bahagian dalam berkempen dari kedai ke kedai di sekitar Jalan Bukit Kecil dan Jalan Hiliran.

Beliau berkata polis bukan mahu menghalang tindakan mana-mana pihak untuk berkempen tetapi ia digalakkan dalam kumpulan yang lebih kecil atau melibatkan kurang daripada lima orang.

"Eloklah pecahkan dalam kumpulan kecil kalau mahu berkempen supaya tidak mengganggu lalu lintas atau menimbulkan provokasi," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Shukri turut mengingatkan petugas pilihan raya terutama dari luar Terengganu agar menjaga tatasusila dan memahami budaya masyarakat setempat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Mohd Shukri berkata pihak polis mendapati perang bendera dan poster semakin hangat sejak kebelakangan ini di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

"Sekali lagi kita mengingatkan petugas-petugas pemasangan bendera atau poster supaya tidak memasang bendera atau poster di tempat-tempat yang dilarang dan mengganggu lalu lintas," katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya tahap keselamatan di Kuala Terengganu masih lagi tenang dan tiada indisen-insiden besar berlaku sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Hanya beberapa insiden perselisihan faham antara penyokong parti-parti yang berpunca daripada perebutan tempat ketika pemasangan bendera parti masing-masing, katanya.

Beliau berkata 31 bendera Umno, Barisan Nasional dan PAS diturunkan malam tadi kerana diletak di kawasan yang dilarang. Turut diturunkan tiga banner.

Mohd Shukri berkata dua ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibatalkan malam tadi kerana tiada permit iaitu di pejabat PKR, Jalan Gong Kapas dan Wakaf Mempelam.

Beliau berkata setakat ini polis telah menerima 70 permohonan permit untuk ceramah umum daripada parti-parti politik iaitu Barisan Nasional (25) manakala PAS (39), PKR (5) dan DAP (1).

Beliau berkata semua permohonan itu diluluskan kecuali PKR dan DAP kerana parti itu tidak bertanding dalam pilihan raya ini.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url