Politik wang: Bubar sayap UMNO - Tg Rithauddeen

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mahu organisasi UMNO disusun semula iaitu dengan membubarkan kesemua sayap parti termasuk Putera UMNO.

Beliau yakin langkah itu mampu membanteras gejala politik wang yang kini berleluasa terutama pada musim pemilihan parti.

Sambil mengambil contoh sistem parti di England beliau berkata, kewujudan parti tanpa sayap boleh mengurangkan perebutan jawatan sekali gus menghalang lebih banyak politik wang daripada berlaku.

“Saya terfikir perlukah ada Puteri, perlukah ada Putera. Kewujudan mereka dalam UMNO bagi saya akan menyebabkan lebih banyak berlaku politik wang kerana merebut jawatan.

“Begitu juga dengan Pergerakan Wanita, ia juga perlu dipertimbangkan (dibubarkan). Di England, Parti Buruh dan Konservatif tidak ada sayap Wanita dan masing-masing berpeluang menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan Lembaga Disiplin UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun.

Ahmad Rithauddeen berkata, perkara itu difikirkan sejak beberapa bulan lalu apabila beliau mendapati gejala politik wang di dalam UMNO masih berlaku walaupun terdapat usaha membanterasnya.

“Saya ada terdengar wujudnya amalan politik wang di dalam Pemuda dan Puteri tetapi tiada orang yang mahu tampil memberi keterangan. Inilah akibatnya jika terlalu banyak pemilihan,” katanya.

Begitu juga dengan isu kuota dalam pemilihan, katanya, sistem itu juga perlu dihapuskan kerana ia mendorong calon mengamalkan politik wang.

“Ini bukan cadangan khusus tetapi inilah perasaan saya sebenarnya. Terpulanglah kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk menerimanya atau tidak,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama Ahmad Rithauddeen berkata, golongan muda tidak sesuai menyertai politik kerana usia pada masa itu sepatutnya ditumpukan kepada pelajaran.

“Tidak usah masuk politik awal sangat. Dalam usia seperti itu mereka harus memberi tumpuan kepada pelajaran. Bukan masa mereka untuk berpolitik.

“Kita amat bergantung kepada golongan ini. Sebagai pemimpin masa depan, mereka bertanggungjawab membawa negara pada tahap paling tinggi dan seterusnya mampu bersaing dengan negara-negara maju,” katanya.

Pada sidang akhbar tersebut beliau juga merayu semua ahli serta pemimpin UMNO supaya menjauhkan diri daripada politik wang demi survival dan kepentingan UMNO.

“Saya berharap ahli-ahli memikirkan perkara ini demi kepentingan UMNO. Selama ini UMNO bukan saja menjadi tiang Barisan Nasional (BN) malah negara.

“Lebih 50 tahun UMNO membawa kebaikan kepada negara. Seharusnya UMNO dibaiki dan diperkuatkan. Saya merayu kepada ahli jangan buat perkara seperti ini (politik wang),” ujarnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url