Resipi baru di Restoran Cheng Ho


Ingin merasai kelazatan makanan terbaru dari Restoran Cheng Ho? Buatlah tempahan sekarang.

Restoran yang diasaskan legenda rock Malaysia, Amy Search bersama isterinya, Norhasniza Hassan atau Norish itu sememangnya semakin popular dewasa ini.

Memilih makanan laut dengan resipi masakan Cina sebagai konsep utama, Restoran Cheng Ho menjadi destinasi paling ideal buat penggemar makanan Cina tersebut terutama yang beragama Islam.

Menurut Norish, permintaan tinggi daripada orang Islam untuk mendapatkan masakan Cina yang halal membuatkan dia dan Amy memilih konsep ini.

"Di sini mereka boleh menikmati lebih daripada 148 pilihan sajian tanpa was-was," jelas Norish ketika ditemui ketika majlis memperkenalkan menu baru di restorannya, baru-baru ini.

Norish mengulas, pertambahan 12 menu baru di Cheng Ho adalah bersempena dengan pengenalan juga sambutan tahun 2009.

"Kini pengunjung boleh menikmati menu baru seperti Deep Fried Fish Zheng He Style, Phet Sat Stim Fish, Fresh Milk Prawns, Kerabu Squid Cheng Ho Style, Black Mushroom with Fish Maw, Crab Meat Tofu Soup dan Stim Chicken with Herbs," jelasnya yang menggunakan khidmat tiga chef tempatan bagi mengendalikan restoran miliknya itu.

Tiga chef tersebut iaitu, Chef Mohd Hanif Zakaria, Chef Fairuz dan Chef Jaffar 'menuntut' ilmu masakan daripada seorang pakar masakan Cina Muslim, di samping pengalaman masing-masing dalam bidang penyediaan makanan.

Norish berkata, selain menu yang baru diperkenalkan, Restoran Cheng Ho terkenal dengan masakan seperti Chicken Mango, Crab Salted Egg dan Nyonya Style Steam Fish.

Sempena Tahun Baru Cina yang sedang dirai sekarang, restoran tersebut menyediakan pakej tahun baru iaitu Yee Sang. Ia boleh dinikmati dengan harga RM25 seorang dalam kumpulan lima hingga enam orang dan RM50 untuk 10 hingga 12 orang.

"Istimewanya Yee Sang di Cheng Ho ialah kami menggunakan minyak zaitun yang didapatkan khas dari negara Palestin. Selain untuk perniagaan, kami berniat membantu serta meringankan kesengsaraan yang dihadapi negara itu. Selain minyak zaitun, madu dalam Yee Sang itu juga diimport dari Yaman yang diyakini suci dan halal 100 peratus," jelas ibu kepada dua cahaya mata ini.

Kini Restoran Cheng Ho mempunyai lebih daripada 15 pelayan untuk melayani kehendak pengunjung di samping menjamu selera di sebuah restoran yang indah dan selesa.

Selain masakan yang lazat, pengunjung pasti tertarik dengan dekorasi restoran ini.

Berlatar belakangkan gambar-gambar masyarakat Cina Muslim dan tulisan khat, kesemua hasil seni yang menghiasi dinding-dinding restoran adalah hasil ilustrasi terakhir sahabat baik Amy iaitu Allahyarham Jalil Ngah.

Restoran ini juga boleh memuatkan seramai 150 hingga 160 orang dalam satu masa. Ruang dalam restoran dibahagi dua bahagian khas iaitu ruang merokok dan sebaliknya.

"Insya-Allah tahun ini, kami akan membuka cawangan di Johor Bharu. Kini kami sedang mencari lokasi yang sesuai kerana ia seharusnya mudah dikunjungi pelancong dari Singapura juga," tutur Norish penuh semangat.

Untuk menghargai pengunjung yang memberi sokongan selama ini, restoran Cheng Ho juga mengeluarkan produk cenderahati khusus untuk pengunjung dan peminat Amy Search. Cenderahati seperti mug, baju T, payung, topi dan sebagainya boleh didapati di sana. Untuk maklumat lanjut serta tempahan, boleh hubungi 03-41496094
Next Post Previous Post
1 Comments
  • gina
    gina Khamis, 9 April 2009 pada 8:33:00 PTG SGT

    pantat lah bangang betul tah ape ape tah dah lah panas buat lawak bodoh je

Add Comment
comment url