Saya bertanggungjawab - Tajol
"Apabila seseorang ahli keluar meninggalkan parti terutamanya beliau adalah seorang wakil rakyat, sudah tentu ia menjejaskan parti terutama sekali kepimpinan parti dan atas sebab itu, saya ambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan Nasaruddin.
"Bagaimanapun, kita masih berusaha untuk berbincang dengan beliau," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada tindakan Nasaruddin itu menggugat kedudukannya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata: "Kita akan lihat (apa akan berlaku selepas ini)".
Mohd. Tajol berkata, UMNO negeri akan membuat kajian bagi mengenalpasti punca Nasaruddin bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai PKR.
"Masalah ini tidak libatkan BN tetapi cuma libatkan UMNO kerana dia (Nasaruddin) keluar UMNO dan kita akan buat kajian untuk mengetahui kenapa," jelas beliau.
Mohd. Tajol memberitahu, sejak semalam, beliau masih gagal menghubungi Nasaruddin kerana bekas Pengerusi Felcra Berhad itu tidak menjawab panggilan telefon darinya.
"Nasaruddin tidak menjawab telefon dan bagi saya itu satu maklum balas positif kerana ini menunjukkan dia masih rasa segan dengan tindakannya (keluar parti)," katanya.
Sementara itu, Ka Chuan meminta semua wakil rakyat daripada BN menaruh keyakinan kepada parti dan tidak terpengaruh dengan propaganda parti pembangkang yang berusaha untuk mengajak mereka melompat parti.
Katanya, pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuma menggunakan perang psikologi untuk melemahkan keyakinan parti komponen BN kononnya, parti pembangkang akan menubuhkan Kerajaan Persekutuan.
"Parti pembangkang terutamanya PKR juga akan menggunakan teori domino untuk memberitahu semua orang bahawa lebih ramai akan melompat keluar daripada BN susulan tindakan Nasaruddin menyertai PKR semalam," katanya.
Beliau menegaskan, BN masih kuat kerana mempunyai majoriti selesa untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.
"Saya harap semua parti komponen akan berdiri teguh di belakang BN kerana tiada unsur luar yang boleh memusnahkan kita kecuali diri kita sendiri.
"Ini kerana apabila kita mula mengesyaki sesama sendiri dan kemudian melompat parti, akhirnya kita merosakkan diri sendiri," katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali hari ini menafikan desas-desus bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak.
Khabar angin itu bertiup kencang ekoran tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.
Mohd. Tajol yang ditanya pemberita mengenai khabar angin itu selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Duta dekat sini berkata:"Tidak, tidak, tidak (tidak akan meletak jawatan)".
Mengulas lanjut pertemuan tersebut, Mohd. Tajol menyerahkan kepada Najib untuk membuat kenyataan mengenai butiran pertemuan mengejut itu yang diadakan ekoran tindakan Nasaruddin.
"Biarlah Timbalan Perdana Menteri yang jelaskan," katanya kepada pemberita yang menunggu beliau sejak petang untuk mengulas inti pati perbincangan tersebut.
- Utusan