Semua wakil rakyat BN Perak ikrar taat setia - Najib
Kesetiaan itu diikrarkan oleh wakil rakyat berkenaan pada perjumpaan khas dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di kediaman Timbalan Perdana Menteri di Jalan Langgak Duta di sini malam ini.
Menurut Najib, semua mereka menyatakan komitmen masing-masing untuk terus bersama parti termasuk beberapa wakil rakyat yang tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.
''Mereka yang tidak hadir ini telah menghubungi saya sendiri dan menyatakan komitmen mereka terhadap parti dan akan terus setia, '' katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas pertemuan tersebut.
Sehubungan itu, Najib berharap, khabar-khabar angin yang menyatakan ada beberapa lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang akan keluar parti akan lenyap.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan, apa yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak kebelakangan ini tidak benar.
Ini kerana, tegas beliau, semua wakil rakyat hadir menyatakan pendirian masing-masing kepadanya.
Mengenai ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang keluar daripada BN dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam, Najib berkata, UMNO Perak akan melihat perkembangan tersebut tetapi tidak akan membiarkannya senyap begitu sahaja.
Beliau memberitahu, UMNO Perak juga akan mengadakan beberapa pertemuan lagi untuk membincangkan perkara berkenaan dan berharap ia dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.
- Utusan