Selangor beli 15 Camry RM2.3 juta

Kerajaan negeri Selangor menjelaskan kos pembelian sebuah kereta Toyota Camry untuk kegunaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu ialah RM157,074 termasuk jaminan selama tiga tahun.

Sebanyak 15 buah kereta jenis itu diterima oleh kerajaan negeri Selangor sejak dua minggu lalu bagi menggantikan Proton Perdana V6 yang digunakan sebagai kenderaan rasmi sebelum ini.

Kenyataan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri menjelaskan, pembelian kereta itu dibuat ekoran kos penyenggaraan Proton Perdana V6 terlalu tinggi iaitu mencecah RM694,735.55 sepanjang 2006 hingga November tahun lalu.

Selain itu, tambah kenyataan tersebut, kereta buatan Malaysia itu juga mengalami masalah kotak gear sehingga perlu ditukar bagi setiap penggunaan dalam tempoh dua tahun sekali.

Katanya, kerajaan negeri turut mendapat potongan harga sebanyak RM10,000 bagi pembelian sebuah Toyota Camry daripada kos keseluruhan pembelian berjumlah RM2.3 juta.

Dalam perkembangan lain, kenyataan itu menjelaskan kelewatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyalurkan bantuan kepada mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ampang pada 6 Disember lalu berpunca daripada masalah teknikal.

Katanya, perkara itu menyebabkan dana bantuan yang sepatutnya disalurkan pada Disember lalu bagi membantu mangsa terlibat seperti dijanjikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini tertangguh.

"MPAJ kini sudah bersedia untuk menyalurkan setiap dana yang diperuntukkan dan proses permohonan akan dilakukan secepat mungkin," ujar kenyataan itu.

Bagaimanapun, katanya, bantuan-bantuan lain akan disalurkan sebelum perayaan Tahun Baru Cina dan kerajaan negeri berharap bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban setiap mangsa yang terbabit.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url