Skim 'gores dan menang' masih berleluasa - NCCC

Kegiatan skim gores dan menang yang diharamkan oleh kerajaan dua tahun lepas masih berleluasa di seluruh negara dengan aduan penipuan sentiasa diterima dari pengguna.

Ketua Eksekutif Pusat Perkhidmatan Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan hampir setiap hari dan meminta pengguna supaya berwaspada dengan taktik tersebut.

Beliau menggesa pihak bank membantu mangsa penipuan skim "gores dan menang" dengan membatalkan transaksi syarikat tersebut kerana urusan penipuan membabitkan penggunaan kad ATM atau kad kredit.

Muhammad Sha'ani memberitahu Bernama di sini hari ini bahawa bank bukan sahaja harus menyenarai hitam syarikat atau peniaga yang terbabit dalam kegiatan penipuan tetapi juga membenarkan pemegang kad kredit menghalang urusan transaksi yang mencurigakan.

Buat masa ini, katanya, bank hanya meminta mangsa kembali kepada syarikat atau peniaga jika mahu membatalkan transaksi yang dipertikaikan itu.

Beliau berharap Bank Negara akan meneliti aduan dan rintihan mangsa penipuan akibat aktiviti jualan langsung seperti skim gores dan memang.

Katanya, NCCC telah mencadangkan supaya peraturan jualan langsung diperketatkan kerana Akta Jualan Langsung 1993 tidak memberi perlindungan yang secukupnya kepada pengguna.

"Ia semata-mata menyediakan peraturan dalam industri untuk menjalankan operasi. Sudah tiba masa untuk peruntukan melindungi hak pengguna dimasukkan ke dalam akta tersebut,' katanya.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus memainkan peranan yang lebih luas dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan kegiatan jualan langsung serta membatalkan lesen perniagaan syarikat yang didapati menipu pengguna.

Katanya, NCCC menerima sejumlah 1,933 aduan terhadap syarikat jualan langsung pada 2007 berbanding 1,499 aduan pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan 29 peratus.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url