Teluk Intan kini bandar burung layang-layang

Sarang burung layang-layang atau walid sangat popular di kalangan masyarakat Cina kerana percaya ia mempunyai pelbagai khasiat terutamanya rawatan kecantikan bagi wanita.

Harganya yang mahal sehingga mencecah RM6,000 sekilogram serta permintaan yang tinggi dari negara China, Singapura, Hong Kong dan Eropah mendorong ramai penduduk negara ini terlibat dalam perusahaan sarang burung berkenaan terutamanya di Kelantan dan Sitiawan, Perak.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk mengusahakan sarang burung walid ini kerana perlu menarik kehadiran burung tersebut untuk menjadikan sesuatu lokasi sebagai sarangnya.

Selain menyediakan lokasi dan peralatan, tuah atau 'ong' juga diperlukan untuk menarik kehadiran burung walid ke lokasi yang disediakan.

Salah sebuah kawasan yang mempunyai taburan burung walid yang tinggi di negeri ini ialah di Bandar Baru Teluk Intan di sini.

Jika dilihat sekali pandang, Bandar Baru Teluk Intan tidak ubah seperti bandar-bandar lain yang mempunyai banyak premis perniagaan tetapi ramai tidak mengetahui hampir semua tingkat atas bangunan di sini dijadikan sebagai rumah burung walid.

Seorang pengusaha burung walid, Seng Tee Kai, 56, memberitahu terdapat 600 rumah burung walid di bandar ini dan 100 daripadanya terletak di Bandar Baru Teluk Intan.

''Banyak rumah kedai di sini dijadikan sebagai rumah burung walid kerana tidak ada orang mahu menyewa," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Tee Kai, perusahaan sarang burung walid ini memerlukan kesabaran kerana burung yang singgah tidak semestinya akan terus menjadikan rumah yang disediakan sebagai sarang.

''Walaupun harga sarang burung ini tinggi tetapi bukan senang untuk burung walid datang membuat sarang. Paling kurang lima tahun dan kadang-kadang tidak ada langsung.

''Bagaimanapun, kawasan ini ada 'ong' kerana banyak burung walid singgah di sini dalam tempoh kurang daripada tiga tahun sejak mula mengusahakannya," katanya.

Tee Kai yang juga seorang tukang jahit berkata, burung walid hanya akan membuat sarang apabila merasakan sesuatu tempat itu selesa dan sesuai untuk mengawan.

''Buat apa burung hendak buat sarang kalau bukan untuk menyimpan telurnya dan memerlukan sehingga 100 hari untuk menyiapkan satu sarang," ujarnya.

Ketika ditanya modal awal yang diperlukan untuk menyediakan sebuah rumah burung walid, Tee Kai memberitahu, ia sekitar RM25,000 bagi kelengkapan termasuk alat muzik.

Menurut lelaki itu, harga sarang burung walid juga turut terjejas ekoran kelembapan ekonomi global.

''Kalau dulu harga sarang burung ini antara RM5,000 hingga RM6,000 sekilogram tetapi kini harganya cuma RM1,700 hingga RM2,000 sekilogram.

''Sarang burung ada harga kerana banyak permintaan daripada negara China tetapi jika China tidak ambil, tidak tahu ada nilai atau tidak lagi," katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url