Satu lagi pakej rangsangan mungkin dilaksana

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak keberatan untuk melaksanakan satu lagi pelan pakej rangsangan fiskal bagi negara ini jika ekonomi bertambah buruk pada 2009.

"Keutamaan saya ialah saya benar-benar mahu menyelamatkan rakyat daripada perlu menghadapi kesukaran jika ekonomi sebenar menerima kesan," katanya dalam satu temubual yang diterbitkan dalam terbitan terbaru mingguan The Edge Business.

Kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan RM7 bilion pada 4 November untuk mengharungi kesan krisis ekonomi berikutan kemelesetan ekonomi global yang berpunca dari Barat.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata, jika defisit bajet kerajaan meningkat lebih daripada lima peratus, ia masih boleh diterima asalkan ia untuk tempoh satu atau dua tahun.

Ketika ditanya mengenai jangkaan penurunan perolehan kerajaan berikutan harga minyak mentah dan minyak sawit yang rendah, Najib berkata, kerajaan menyedari perkara itu.

"Sebab itu kita bersikap tegas dari segi penetapan satu siling.

Sebagai contoh, perbelanjaan kerajaan oleh pelbagai kementerian, jika mereka memohon perbelanjaan tambahan, mereka akan diberitahu supaya membuat penjadualan semula atau menetapkan projek keutamaan, bahawa mereka perlu melaksanakan projek, iaitu mereka perlu membuat perancangan mengikut siling yang ditetapkan. Kita memandang berat untuk mengekalkan defisit 4.8 peratus," katanya.

Mengenai harga minyak mentah yang lebih rendah, katanya, ini dapat dikurangkan berikutan pengurangan subsidi bahan api dan dengan itu kerajaan menjangka defisit bajet berada pada paras yang boleh diuruskan.

Ketika ditanya mengenai cabaran penting yang perlu dihadapinya apabila mengambil alih teraju negara selepas Mac 2009, Najib berkata, dalam usaha menetapkan perkara mengikut perspektifnya, Malaysia tidak berhadapan dengan krisis politik atau krisis ekonomi yang serius.

"Sejauh yang berkaitan dengan Malaysia, apa yang dihadapi oleh negara kita ialah kemelesetan global yang memberi kesan buruk terhadap ekonomi kita.

''Berikutan itu, apa yang perlu dilakukan berikutan jangkaan kemelesetan dari segi pertumbuhan dan kemungkinan kesan tersebut termasuk pengecilan perniagaan dan pemberhentian pekerja sektor swasta," katanya.

Beliau berkata, tetapi kita juga bernasib baik - inflasi dijangka berada pada paras sederhana pada tahun depan.

Malah, katanya, angka terbaru menunjukkan bahawa kesan yang paling buruk telah berlalu dan kita sepatutnya berupaya untuk mencatatkan inflasi pada sekitar empat peratus atau kurang (pada 2009). Harga bahan api telah turun, yang melegakan rakyat.

Sambil Malaysia menjangka berlaku kemelesetan dari segi pertumbuhan ekonomi, Najib berkata, negara tidak dijangka terjerumus ke dalam kemelesetan atau kemelesetan teknikal.

''Kemelesetan teknikal berlaku apabila tahap keluaran sebenar nasional merosot dalam dua suku tahun berturut-turut yang menyebabkan penguncupan dalam jumlah pengeluaran ekonomi.

"Ini tidak bermaksud kita tidak mengakui kesan krisis berkenaan; kita telah bersedia menghadapi kemungkinan yang buruk sehingga telah menyediakan pelan untuk menanganinya. Dan kita juga mempunyai pengalaman mengharungi krisis kewangan Asia 1997/1998. Ekonomi kita kini lebih kukuh, lebih berdaya tahan," katanya.

Najib berkata, sistem perbankan kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh dan bank terus memberi pinjaman. Tetapi kita perlu sentiasa bersiap sedia; kita perlu memantau keadaan dengan rapi.

Ketika ditanya sama ada kesan ketidaktentuan politik selepas pilihan raya umum Mac, 2008 kini telah reda, Najib mengakui ia telah berkurangan dengan ketara.

Perubahan

"Pertama kalinya, tarikh 16 September telah berlalu dan apa yang dijangka tidak berlaku langsung. Yang kedua, berlaku perubahan kuasa yang licin di dalam UMNO dan Barisan Nasional," katanya sambil menyatakan bahawa yang ketiganya ialah kelulusan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang melambangkan 'kerajaan yang sangat, sangat berfungsi, bukan kerajaan yang tidak berfungsi'.

"Hanya tidak cukup untuk meminda perlembagaan, kami boleh meluluskan kesemua rang undang-undang yang kita perlukan. Jadi, saya tidak melihat sebarang masalah. Ia merupakan sesuatu yang boleh kita uruskan; kestabilan politik tidak diramalkan berasaskan satu faktor tunggal. Asalkan rakyat berkeyakinan bahawa kerajaan akan diteruskan, saya rasa keyakinan rakyat tidak akan tergugat," katanya.

Najib berkata, para pelabur asing juga mulai melihat kestabilan muncul semula dan mereka kini tidak lagi mempersoalkan sama ada akan berlaku perubahan kerajaan.

"Saya rasa kita telah melepasi tahap itu," katanya, sambil menyatakan bahawa rakyat kini bercakap mengenai kerajaan semasa akan meneruskan mandatnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Ketika ditanya pandangannya mengenai tenaga buruh Malaysia dan sama ada sistem pendidikan negara ini perlu ditambah baik, katanya: "Sebenarnya, dari segi gambaran yang lebih besar, kita tidak mahu terkandas di tengah-tengah. Wujud keadaan yang berbahaya jika kita terkandas; kita bukan pengeluar berkos rendah yang sebenar atau pengeluar yang canggih, mempunyai produktiviti yang tinggi, pengeluar berteknologi tinggi. Jadi, akan wujud keadaan yang berbahaya jika kita tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mewujudkan strategi yang betul. Kita kemungkinan terkandas di tengah-tengah dan itu merupakan keadaan berbahaya paling besar yang bakal kita hadapi, bagi negara ini.

"Kita perlu menyedari bahawa kita mesti meningkat di atas rantaian nilai.

Jadi, kita perlu memastikan lebih ramai tenaga buruh mempunyai kelayakan tinggi. Sebab itu universiti kita perlu distruktur semula, malah sistem pendidikan kita diliberalisasikan dari segi pembelajaran, sebagai contoh, daripada berasaskan pengajaran secara penghafalan semata-mata.

"Saya merasakan, rakyat Malaysia secara umumnya sangat kuat berusaha untuk maju dalam pelajaran, tetapi kita perlu mencabar pemikiran dan membuka minda masing-masing. Kita perlu menggalakkan budaya ingin mengetahui dan mewujudkan masyarakat berpengetahuan dalam erti kata sebenar.

"Kita juga perlu menggalakkan rakyat Malaysia mahu mempelajari kemahiran lain untuk berjaya dalam persekitaran global sekarang, yang termasuk kemahiran bahasa asing.

"Saya seorang pejuang dari segi pembelajaran bahasa moden, yang bukan sahaja bahasa Inggeris, malah juga bahasa moden lain seperti Mandarin, Arab, Jepun. Lebih ramai rakyat Malaysia perlu mahir dalam bahasa asing yang lain."

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url