Umat Islam digesa baiki kelemahan diri
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali berkata, setiap umat Islam perlu berpindah daripada kekurangan yang ada dalam diri mereka sebelum ini kepada sikap lebih terpuji termasuk minda dan tingkah laku.
"Perpindahan sikap itu amat penting dalam meningkatkan jati diri dan mengelakkan seseorang umat Islam terjerumus dalam krisis akhlak atau sosial yang bukan sahaja akan merosakkan diri mereka tetapi kemungkinan memberi kesan kepada generasi akan datang.
"Apabila tiba tahun baru, biasanya orang akan menyimpan azam bagi memperbaiki diri dan mereka perlu berusaha bagai mencapai hasrat itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Che Mat berkata, masyarakat Islam pada hari ini tidak bersatu padu dan sikap itu menyumbang kepada krisis dalaman termasuk membabitkan institusi keluarga serta parti politik.
"Krisis dalaman perlu dielakkan kerana ia memburukkan sesebuah kumpulan dan membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan seperti yang berlaku di negara luar apabila masyarakat Islam dengan mudah diserang negara lain," katanya.
Pada masa sama, tambahnya, setiap umat Islam perlu mencermin diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyalahkan pihak lain atas kegagalan dalam usaha penyatuan kerana mereka juga sebenarnya suka bermusuh dan tidak bersatu padu.
Sementara itu, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Azril Mohd. Amin berkata, walaupun negara semakin maju dan tahun semakin berganti, akhlak umat Islam terutama dalam menghormati agama semakin menurun.
"Masyarakat Islam semakin ramai tidak tahu kepentingan agama dalam kehidupan mereka dan hilang rasa hormat terhadap Islam.
"Ia dapat dilihat dalam isu fatwa yang mana umat Islam tidak menghormati fatwa yang dikeluarkan golongan yang arif dan ada pula mengeluarkan fatwa yang lari daripada ajaran agama," katanya.
Umat Islam tambahnya, perlu menghormati ilmu yang terkandung dalam al-Quran supaya ia dapat meningkatkan jati diri dan mempertahankan ajaran agama walaupun dalam situasi mereka perlu menjaga kepentingan sendiri dan orang lain termasuk golongan bukan Islam.
- Utusan