Khurafat - Mandi tolak bala di Sabah
Beberapa pengunjung ketika ditemui berkata, perbuatan tersebut merupakan kepercayaan karut masyarakat dahulu kala yang masih lagi diamalkan setiap kali menjelang tahun baru.
Salah seorang pengunjung, Awang Narazri Mohd. Goes, 23, melahirkan rasa kesal dengan perbuatan tersebut kerana masih lagi diamalkan oleh segelintir masyarakat Islam di negeri ini.
Kata Awang, sepatutnya amalan seumpama itu tidak lagi dilakukan kerana ia sama sekali bercanggah dengan ajaran Islam.
"Saya tidak faham mengapa pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam masih tidak mengambil tindakan.
"Saya juga hairan dan kecewa kerana kesedaran di kalangan orang Islam mengenai perkara ini masih kurang, malah ada yang masih tidak mengetahui perbuatan ini salah di sisi agama," katanya.
Dia berkata, pihak jabatan agama perlu menegur atau memberi nasihat kepada umat Islam yang terlibat kerana sekiranya dibiarkan, dikhuatiri ia akan menjadi ikutan generasi baru.
Shahfarina Imam, 27, pula berkata, sudah sampai masanya Jabatan Agama Sabah mengambil tindakan serius untuk membendung kegiatan tersebut daripada terus berleluasa.
"Kita tidak mahu sambutan tahun baru masih lagi diwarnai dengan perkara seperti ini, sepatutnya sebagai orang Islam, sambutan diraikan di surau atau masjid untuk mencari keberkatan," katanya.
Menurutnya, amalan tersebut bukan sahaja disambut di daerah ini tetapi juga di kawasan-kawasan pinggir pantai di seluruh Sabah sama ada penganut Islam atau bukan Islam.
Katanya, kepercayaan itu sudah sebati dengan masyarakat Sabah sejak dulu lagi dan masih lagi diamalkan sehingga hari ini kononnya untuk membuang sial dan memperoleh nasib lebih baik sempena tahun baru.
- Utusan