Umno tidak terima dasar melampau - Najib

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa Umno tidak sekali-kali akan menerima dasar melampau yang boleh menggugat hubungan kaum di negara ini.

Beliau berkata sungguhpun seorang dua pemimpin Umno mungkin mengeluarkan kenyataan yang "salah" namun ini tidak menggambarkan dasar keseluruhan Umno.

Najib berkata Umno akan sentiasa berpegang kepada pendirian dasar sederhana.

"Kami tidak akan melaksanakan dasar yang melampau di negara ini. Saya beri jaminan bahawa Umno tidak sekali-kali akan menerima dasar seperti itu di negara ini.

"Kami akan berlaku adil kepada semua komuniti dan kaum di negara ini," katanya ketika berucap pada majlis jamuan bersama masyarakat kaum India Terengganu di sini malam ini.

Najib berkata pembangkang seringkali bermain politik dan beliau mengingatkan pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu supaya tidak terperdaya dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pembangkang.

"Kami (BN) tidak bermain politik. Kami adalah kerajaan rakyat, untuk rakyat dan oleh rakyat. Kami akan berkhidmat untuk semua masyarakat," katanya.

Beliau berkata kerajaan bersedia untuk menjalani proses bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahannya.

"Sekiranya kami melakukan kesilapan, kami sedia membetulkannya," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan kepentingan kaum India di Terengganu yang merupakan golongan minoriti apabila di Kuala Terengganu sahaja terdapat 527 pengundi atau 0.7 peratus daripada jumlah penduduk di kawasan parlimen itu.

Beliau meminta kaum India di negeri ini supaya jangan mudah terpengaruh dengan isu yang cuba diekploitasi untuk membangkitkan kemarahan golongan tertentu khususnya isu merobohkan kuil di Selangor.

"Saya memberi jaminan bahawa itu bukanlah dasar kami dan kami tidak akan merobohkan mana-mana kuil," katanya.

Malahan, beliau berkata kerajaan telah menyumbangkan RM150,000 kepada sebuah kuil di Kuala Terengganu yang bukan bertujuan membeli undi, sebaliknya memenuhi permintaan yang telah dibuat sebelum ini.

Najib berkata sekiranya calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diberi mandat oleh pengundi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil itu kelak, ia akan memudahkan beliau menguruskan masalah masyarakat dan menjadi penghubung antara kerajaan negeri serta pusat.

"Ini memberi keyakinan kepada masyarakat di sini bahawa wakil yang dipilih adalah anggota pentadbiran, bukan anggota pembangkang yang hanya boleh membangkitkan isu dalam dewan.

"Saya pasti apa yang kita semua mahukan adalah seorang wakil rakyat yang dapat berkhidmat untuk kita dan menyelesaikan masalah kita," katanya.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url