AmBank sasar raih RM1b deposit

AmBank (M) Bhd. menyasar untuk meraih simpanan deposit pelanggan berjumlah RM1 bilion melalui pertandingan Ambank Treasure Quest yang dilancarkan pada hari ini.

Pengarah Urusan Perbankannya, Datuk Mohamed Azmi Mahmood berkata, peraduan itu bertujuan memberi nilai tambah kepada para pelanggan untuk menggalakkan budaya menyimpan semasa dalam kelembapan ekonomi.

AmBank Treasure Quest merupakan peraduan yang menawarkan hadiah berbentuk peti harta karun yang dipenuhi wang tunai, emas dan barangan kemas berdasarkan pilihan pelanggan.

Hadiah utama peti karun itu bernilai RM238,000 manakala hadiah pertama berjumlah RM98,000 dan tempat kedua RM38,000.

Para pelanggan juga layak memenangi hadiah bulanan mingguan dan harian untuk tiga bulan berikutnya dengan setiap bulan menawarkan sebuah kereta Chevrolet untuk bulan ini dan Mac.

Sebanyak 11 hadiah mingguan bernilai RM8,000 setiap satu dan 73 hadiah harian sebanyak RM800 setiap satu.

Mohamed Azmi menjelaskan untuk menyertainya, pelanggan hanya perlu mendeposit dan mengekalkan minimum sebanyak RM2,000 ke dalam mana-mana akaun simpanan dan akaun semasa AmBank atau AmBank Islamic Bank atau minimum sebanyak RM10,000 ke dalam deposit tetap atau RM100,000 untuk deposit berstruktur.

Peraduan tersebut berlangsung selama tiga bulan bermula Februari ini sehingga April serta terbuka kepada pelanggan baru dan sedia ada yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Dalam pada itu, Mohamed Azmi berkata, AmBank akan melabur antara RM5 juta hingga RM7 juta untuk menambah 10 buah cawangan baru dalam enam bulan akan datang.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url