Isu gambar bukan angkara UMNO - Khir Toyo

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd. Khir Toyo kesal dengan tindakan pemimpin-pemimpin dari Pakatan Rakyat yang mendakwa isu penyebaran gambar lucah Elizabeth Wong di Internet merupakan konspirasi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan, isu itu timbul kerana hubungan peribadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan itu bersama bekas kekasihnya dan tiada kaitan dengan pihak-pihak lain.

''Saya ingin mengingatkan UMNO dan BN tidak terlibat dalam perkara ini,'' katanya ketika dihubungi di Shah Alam.

Mohd. Khir menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan parti-parti dari Pakatan Rakyat terdiri Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyelar kononnya UMNO dan BN menjadi dalang kepada isu tersebut.

Rentetan daripada penyebaran gambar itu Elizabeth dalam satu sidang akhbar khas di Kuala Lumpur hari ini menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar dan ADUN kawasan tersebut.

Mohd. Khir berkata, tindakan menuduh UMNO dan BN itu menunjukkan parti Pakatan Rakyat pilih kasih apabila berhadapan dengan isu moral di kalangan pemimpin mereka.

Katanya, semasa isu bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek terlibat dengan hubungan sulit bersama orang wanita, mereka mendesak beliau meletak jawatan.

''Kini kita mengikut cara yang sama, ahli politik mereka terlibat dalam perbuatan tidak bermoral perlu letak jawatan jika terbukti terlibat,'' jelasnya.

Sementara itu Mohd. Khir berkata, Barisan Nasional (BN) Selangor bersedia menghadapi pilihan raya kecil jika kerusi DUN Bukit Lanjan kosong.

Menurutnya, rakyat perlu diberitahu dan diingatkan bahawa pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor tidak stabil menyebabkan rakyat menanggung akibatnya dari segi kemajuan dan pembangunan.

''Perkara ini perlu diperjelaskan demi kepentingan rakyat,'' tambahnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url