Bagaimana buat lelaki melamar?
Berikut beberapa panduan untuk membuatkan teman lelaki membuat keputusan terbesar dalam hidupnya iaitu menjadikan anda suri hidupnya tanpa perlu menggunakan paksaan.
Jangan sesekali menyebut perkara berkaitan perkahwinan
Contohnya, jika anda terlihat kereta mewah berhias bunga, reben sedondon dan rombongan pengantin di belakangnya, pura-pura anda sedang mengikat tali kasut (walaupun ketika itu anda memakai selipar Jepun).
Sekiranya terdapat adegan perkahwinan dalam filem yang sedang anda dan teman lelaki tontoni di pawagam, menguap seperti sedang kebosanan.
Malah jika menghadiri majlis perkahwinan bersama, mengadu mengenai kelemahan servis, makanan yang teruk dan muzik membingitkan serta tambah ayat, ''Tolonglah, berjanji awak tak akan paksa saya buat begitu,''.
Bersimpati pada pasangan yang sudah bertunang atau berkahwin
Apabila bertemu dengan kawan lama (meskipun anda cemburu dengan cincin kahwin berlian yang dipakainya, kerja dan rumah yang bagus, serta bakal menimang cahaya mata) - pegang tangannya dan berikan pandangan simpati seperti memandang kucing sakit.
Apa pun yang anda lakukan, jangan sesekali berkata kepada teman lelaki anda, ''Mereka kelihatan gembira.'' Sebaliknya, kata mereka nampak sengsara dan bosan. Bosan, bosan, bosan.
Pergi bercuti dengan rakan-rakan wanita
Siapa berkata sebaik anda mempunyai teman lelaki, anda perlu sentiasa 'berkepit' bersama-samanya? Anda seorang wanita yang berdikari dan ingin bersuka ria dengan rakan-rakan.
Sekiranya anda terpaksa tinggal di bilik kerana ribut ketika percutian bersama rakan-rakan, resort didiami terlalu usang serta anda asyik bercerita mengenai kerinduan pada teman lelaki bersama rakan-rakan - Jangan sesekali biarkan si dia tahu mengenainya!
Di dalam fikirannya hanya anda sedang berseronok bersama rakan-rakan dan menari limbo bersama lelaki kacak serta gagah.
Jangan minta si dia berjumpa ibu bapa anda
Seandainya pertemuan itu telah berlaku, jangan sesekali menjemputnya ke rumah lagi.
Jangan cadangkan teman lelaki menyambut Hari Raya bersama keluarga anda.
Bila si dia bertanya kenapa tidak dijemput, katakan ''Sayang, mestilah awak dijemput tapi saya tidak mahu menyusahkan awak.''
Ini pasti membuatkannya berang tapi pada masa yang sama terpegun. Apabila dia merasai kedua-dua emosi itu terhadap anda, dia pasti akan meminta anda menjadi miliknya untuk selama-lamanya.
Selamat pengantin baru...
- UTUSAN