Bukit Selambau masih untuk MIC?

Sekalipun sentimen Melayu mahukan calon Melayu bertanding di kawasan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada April depan tetapi tidak wajar tradisi orang India mewakili kawasan itu dipecahkan ketika negara melangkah kepada pimpinan baru Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang perlu membuktikan pegangan teguhnya kepada prinsip dan formula politik masyarakat majmuk Barisan Nasional.

UMNO tidak seharusnya terlihat sebagai parti yang berundur ke belakang dalam kepercayaannya kepada parti komponen bukan Melayunya ketika Pas baru hendak menyesuaikan dirinya dengan formula politik ini.

Najib perlu lebih berhati-hati untuk tidak terlihat sebagai ultra Melayu atau memberikan peluang kepada mana-mana pihak untuk memomokannya sebagai seorang pemimpin yang bersifat perkauman (rasist) ketika keadaan politik Malaysia mudah panas dan terpengaruh dengan isu-isu perkauman.

Jika ditakdirkan calon Melayu daripada UMNO kalah di Bukit Selambau maka kesannya sangat buruk kepada imej beliau di permulaan pimpinannya. Tetapi jika kalah kerana meletakan calon bukan Melayu maka beliau akan terlihat sebagai sanggup berkorban demi mengekalkan imej UMNO dan BN sebagai parti yang tetap teguh berpegang dengan prinsip masyarakat majmuk sekalipun dalam keadaan yang amat tercabar.

UMNO Bahagian Merbok mempunyai beberapa sebab yang kuat untuk meminta supaya calonnya bertanding di kawasan Bukit Selambau. Di antaranya kerana merasakan orang Melayu boleh memberikan kemenangan kepada calon BN di kawasan itu berasaskan kedudukan komposisi bilangan pengundi mengikut kaum. Malahan UMNO juga pernah mewakili kawasan ini sebelum diberikan kepada MIC sejak tiga penggal yang lalu (calon MIC kalah dalam pilihan raya 2008).

Selain itu, orang Melayu di kawasan Bukit Selambau yang telah memberikan sokongan dan kemenangan kepada calon MIC, merasa tidak wajar apabila orang India sendiri berpaling tadah dalam pilihan raya lalu.

Dengan tidak mengundi calon MIC, orang India di kawasan ini dianggap telah menderhaka kepada UMNO dan mengkhianati setiakawan dengan BN.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin UMNO dan juga orang Melayu setempat sewajarnya dapat mencium perubahan sikap orang India di kawasan Bukit Selambau akhir-akhir ini setelah perubahan drastik yang diharapkan oleh mereka dan juga wang berjuta yang dijanjikan oleh Hindraf tidak kunjung tiba setelah beralih kepada pembangkang.

Malah mereka berada dalam keadaan marah dan kecewa kerana setelah setahun berlalu, wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengatasi pelbagai masalah harian mereka. Kekecewaan ini dapat diketahui dalam masa yang singkat oleh sesiapa juga yang menemui masyarakat India di Bukit Selambau sekarang.

Maka itu orang Melayu harus memberi peluang kepada orang India di Bukit Selambau untuk menunjukkan penyesalan mereka kerana tersesat dan membuat pengundian yang salah dalam pilihan raya 2008.

Jika calon MIC (BN) menang dalam pilihan raya kecil ini maka ia akan memberikan suatu pukulan yang hebat kepada pendekatan politik sensasi perkauman dan keagamaan yang meletup, membakar dan merebak dengan pantas ke seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Bagaimanakah gerakan ini boleh meletus dengan tiba-tiba? Siapakah perancang utama dan penggerak operasinya dengan begitu berkesan yang sekali gus dapat memukau orang India di seluruh Malaysia dan melempar jauh MIC yang telah 'berkuku' dalam masyarakat India.

Berlakunya hal ini juga membayangkan kelemahan bahagian perisikan kita (tentera dan polis) atau mungkin pandangan mereka tidak lagi diambil berat oleh kerajaan yang ghairah hendak membuktikan amalan kebebasan dan demokrasi baru.

Sekalipun nasi telah menjadi bubur tetapi sewajarnya kerajaan mendedahkan siapakah sebenarnya di belakang gerakan Hindraf ini supaya orang ramai sedar bahawa sebenarnya pihak keselamatan negara tidak selemah anggapan mereka.

Berdasarkan kepada kejayaan Hindraf mencetuskan revolusi minda di kalangan masyarakat India, tidak dapat dinafikan mereka mempunyai kecekapan dan keupayaan untuk menyusun gerakan bawah tanah yang dapat mencetuskan suatu revolusi ganas setelah kejayaan revolusi minda di kalangan masyarakat India di negara ini.

Walaupun kerajaan telah mengharamkan Hindraf tetapi tidak dapat diperkecilkan kemungkinan anasir-anasirnya terus bergerak untuk mempengaruhi masyarakat India terutama dalam pilihan raya-pilihan raya kecil kelak terutama di Bukit Selambau yang mempunyai ramai pengundi India.

Kawasan ini sebenarnya bukanlah kawasan bermasalah besar kecuali masalah bekalan air dan elektrik serta penempatan semula penduduk yang sukar diatasi disebabkan tidak mendapat kerjasama tuan tanah.

Peluang pekerjaan adalah banyak tetapi sikap majikan beberapa buah kilang dalam kawasan Sg Petani dan Bukit Selambau yang lebih mengutamakan buruh murah dari luar negara telah menimbulkan kemarahan di kalangan masyarakat setempat.

Sebuah kilang papan yang besar yang dulunya terletak di kawasan Sg Tukang dalam kawasan Merbuk telah pun berpindah ke kawasan Bukit Selambau tetapi adalah sangat jelas kilang ini yang dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan pihak berkuasa di negeri Kedah lebih mengutamakan pekerja dari Vietnam kerana pembayaran gaji yang murah.

Masyarakat India telah pun menyuarakan perkara ini kepada wakil rakyat dari parti pembangkang di peringkat DUN dan Parlimen tetapi mereka juga tidak dapat mengubah keadaan yang diwarisi daripada wakil rakyat Barisan Nasional. Tetapi berasaskan kepada pengalaman singkat dengan pembangkang, mereka sekarang telah sedar bahawa adalah lebih baik diwakili oleh BN yang telah banyak mengatasi masalah mereka sebelum ini.

UMNO Bahagian Merbok dan juga masyarakat Melayu setempat sewajarnya bersikap rasional dan tidak terbawa-bawa dalam arus emosi dan sentimen perkauman dengan sikap masyarakat India kerana Bukit Selambau akan menjadi ujian pertama kepada kepimpinan Najib bagi penerusan dasar bertolak ansur dan keadilan untuk semua kaum yang menjadi nilai pegangan teguh BN dan sebelumnya Perikatan demi keharmonian dan kestabilan negara.

Bahawa bukan Melayu telah menolak parti komponen BN dalam pilihan raya lalu dan tidak membantu calon-calon UMNO termasuk di kawasan Parlimen dan DUN Merbok dan Sg Petani tidak seharusnya dianggap sebagai pengesahan bukan Melayu berpaling tadah buat selama-lamanya daripada BN.

Perkembangan politik, sosial dan ekonomi sejak akhir-akhir ini tentunya membuka mata mereka terhadap pentingnya sebuah kerajaan yang kuat, bermoral, berpengalaman dan berkualiti.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Selasa, 24 Februari 2009 pada 11:52:00 PTG SGT

    pujuk mcm mana pun hati org india terluka dgn teruk .. kerajaan BN dan UMNO tidak serik lagi..tidak berubah sedikit pun....masyarakat india yg dianggap sebagai minoriti..seperti tidak kedengaran di telinga org BN dan UMNO..org india bukan hanya mahu bantuan dari segi duit utk sekolah tamil..peluang pekerjaan...tapi maruah org india...tangisan org india semasa perhimpunan hindraf,tangisan keluarga, ibu bapa kugan,yg terbaru 6 org yg ditembak mati...banyak perkara lagi yg BN kena beri perhatian...,misalnya 5 org hindraf yg masih ditahan dlm ISA yg hanya memperjuangkan hak org india, tapi org BN dan UMNO tuduh mereka boleh mengancam keselamatan,mereka hanya memperjuangkan hak2 org india tanpa mengaitkan kaum lain....saya percaya org india di perak, selangor,penang dan kedah masih marah dan tidah puas hati dgn BN dan goverment..begitu juga dgn org india di bukit selambau..BN sgt ego sampai pru yg lalu waaupun mereka tahu pilihanraya dah dkt,tapi apa yg mereka buat dky penyokong hindraf..k…

Add Comment
comment url