Top Ad 728x90

,

Orang Islam tidak boleh keluar Islam

Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes Azlina Jailani atau Lina Joy jelas menunjukkan bahawa orang Islam tidak boleh keluar daripada agama itu sesuka hati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kerajaan juga tidak bercadang meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan ekoran keputusan kes itu.

Beliau berkata, sekiranya kebebasan sedemikian diberikan, sudah pasti umat Islam di negara ini akan menjadi huru-hara malah kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi turut terjejas.

"Hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11(1) tidaklah boleh ditafsirkan dengan begitu luas sehingga meliputi hak kebebasan seseorang Islam untuk memilih dan menukar agama pada bila-bila masa sesuka hatinya.

"Bagi orang Islam yang berhasrat keluar agama Islam, orang itu perlu mendapatkan perintah Mahkamah Syariah seperti yang diperuntukkan di bawah enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri," katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Bharu) sama ada kerajaan bercadang meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memperuntukkan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, termasuk untuk menukar agamanya (kecuali bagi penganut agama Islam yang hendak tertakluk kepada undang-undang dan Syariat Islam).

Mohamed Nazri menegaskan, tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kes Lina Joy tidak boleh dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes itu, permohonan Lina Joy untuk memadam perkataan 'Islam' di dalam kad pengenalannya ditolak oleh JPN atas alasan tidak sempurna tanpa perintah Mahkamah Syariah yang mengisytiharkan bahawa beliau telah keluar daripada agama Islam.

Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dalam penghakimannya berkata, Perkara 11(1) tidak wajar dihujah sebagai peruntukan yang memberi hak kebebasan untuk menukar agama yang tidak terbatas.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Nazri berkata, 10 buah negeri kini mempunyai enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam.

Negeri tersebut ialah Terengganu, Kelantan, Selangor, Perak, Melaka, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Perlis.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90