Cara mudah tangkap ular
Menangkap ular bagi kebanyakan daripada kita tentunya sesuatu yang menggerunkan, apatah lagi jika berbisa kerana tentunya turut melibatkan pertaruhan nyawa.
Perasaan itu juga ada kalanya dirasai oleh anggota bomba yang ditugaskan untuk melenyapkan kebimbangan orang ramai apabila haiwan itu terbabas masuk ke dalam rumah atau premis lainnya.
Ia perlu ditangkap tanpa dicederakan dan dengan kelengkapan batang penyepit biasa, tersilap langkah, tanpa pengalaman secukupnya ular mungkin mati atau anggota bomba menjadi mangsa gigitan.
Namun semua kebimbangan itu pasti lenyap dengan terciptanya COBRA P.C Model-i 2008/6935T (Cobra P.C) yang lebih ringkas dan menampilkan ciri-ciri keselamatan yang boleh digunakan dengan mudah oleh sesiapa sahaja.
Cobra P.C adalah alat menangkap ular dihasilkan daripada ilham Che Zamri Che Ya, 37, seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang telah berkhidmat selama 15 tahun.
Alat yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu perangkap, panduan arah dan beg bukan sahaja menjamin keselamatan penggunanya tetapi ia juga memastikan ular tidak cedera atau mati.
''Saya telah banyak kali menangkap ular dan kalau menggunakan cara lama, anggota bomba akan berdepan dengan risiko yang tinggi malah ular yang ditangkap selalunya mati.
''Tetapi dengan Cobra P.C semua risiko dapat dielakkan dan ular yang ditangkap dapat dilepaskan dalam keadaan selamat,'' ujar Che Zamri ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Che Zamri, dia mendapat ilham mencipta alat tersebut ketika melihat seekor ular bersembunyi di dalam saluran paip tandas rumahnya sendiri yang sukar dilihat dan dikeluarkan.
Katanya, alat tersebut akhirnya berjaya dihasilkan melalui komitmen dua pegawai atasannya iaitu Pengarah JBPM Negeri, Mohd. Azmi Osman dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Shahril Yusma.
Jelasnya, Projek Inovasi 2008 JBPM yang disertai pada 25 Ogos tahun lalu akhirnya memberi kenangan amat bermakna kepadanya apabila alat ciptaannya itu dipilih menjuarai kategori utama.
''Keberkesanan alat ini memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Ketika hendak menangkap ular, kita cuma perlu menggunakan Cobra Guide untuk mendorong reptilia itu memasuki perangkap dan seterusnya ke dalam karung," katanya.
Katanya nama Cobra P.C adalah sempena nama Cobra (ular berbisa), P.C (JBPM Pengkalan Chepa) Model-i 2008 (Projek Inovasi Tahun 2008) dan 6935T merupakan nombor anggota Che Zamri sendiri.
Mengulas mengenai penggunaan alat tersebut di seluruh negara, Che Zamri berkata, buat masa sekarang, pihak jabatan telah membekalkannya ke seluruh balai di negeri ini.
Dari aspek komersil, katanya, urusan utama yang akan diberi keutamaan pada masa ini ialah mendapatkan pengesahan keselamatan dan spesifikasi daripada Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
''Alat ini boleh dikomersilkan kepada masyarakat sebagai langkah keselamatan mereka di rumah," ujar beliau.
- UTUSAN