Unjuran KDNK Malaysia disemak semula
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata unjuran kadar pertumbuhan 3.5 peratus Malaysia akan disemak semula bagi tahun 2009 jika permintaan ke atas eksport negara kemungkinan besar terjejas dengan teruk dan merosot kepada kadar dua angka.
Katanya ini berikutan kelembapan pertumbuhan dan perdagangan dunia yang mungkin menjadi lebih ketara jika pakej rangsangan seluruh dunia tidak memberi kesan positif yang amat diharapkan.
Beliau yang juga menteri kewangan berkata, unjuran pertumbuhan baru yang akan diumumkan itu akan mengambil kira kekuatan dan kelebihan ekonomi negara dalam menangani persekitaran luar yang tidak menentu, lapor Bernama.
"Memandangkan persekitaran antarabangsa yang semakin mencabar, sebagai sebuah ekonomi terbuka, negara kita juga dijangka menerima kesan dari kelembapan ekonomi dan perdagangan dunia," katanya di Dewan Rakyat.
Katanya, petunjuk ekonomi juga menggambarkan situasi ekonomi negara kini berdepan dengan risiko yang amat mencabar seperti mana yang dialami oleh semua negara di seluruh dunia.
"Perkembangan ini dijangka berterusan dalam tahun ini dan akan memberi kesan kepada kegiatan ekonomi negara pada keseluruhan tahun 2009," katanya.
Antara petunjuk ekonomi utama ialah eksport negara yang mengalami penurunan sebanyak -2.6 peratus dalam bulan Oktober, November (-4.9 peratus) dan Disember (-14.9 peratus).
Bagi tempoh yang sama, indeks pengeluaran perindustrian (IPI) juga merosot apabila Oktober mencatatkan -2.8 peratus, November (-8.2 peratus) dan Disember (15.5 peratus).
Pasaran saham rendah
Najib berkata jumlah pemberhentian pekerja bagi tempoh Oktober 2008 hingga Januari 2009 adalah seramai 10,277 sementara di bawah skim pemberhentian sukarela (VSS) adalah seramai 4,207 dalam tempoh yang sama.
Katanya kedudukan pasaran saham negara masih di paras rendah pada 903.52 mata pada 10 Februari lalu berbanding paras tertinggi 1,519.22 mata pada 11 Januari tahun lepas.
Bagaiamana pun, Najib berkata Malaysia masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk untuk menyokong daya ketahanan dan pertumbuhan ekonomi.
Antaranya ialah rizab antarabangsa negara yang meningkat kepada AS$91.3 bilion pada 30 Januari lalu dan mampu membiayai 7.5 bulan import tertangguh.
Katanya sistem perbankan negara juga kukuh dengan nisbah wajaran modal berisiko berada pada paras yang tinggi iaitu 12.6 peratus pada Disember 2008, melebihi kadar lapan peratus piawaian antarabangsa Basel.
Selain itu, negara mempunyai daya saing yang tinggi, khususnya dalam sistem perbankan Islam serta sistem kewangan negara pula tidak terlalu terdedah kepada kesan krisis kewangan global.
Katanya tahap hutang tidak berbayar juga masih rendah sebanyak 2.2 peratus.
Pakej rangsangan kedua
"Kadar inflasi pula dianggarkan berada pada kadar yang stabil dan dijangka meningkat pada kadar yang rendah pada tahun 2009," kata Najib.
Paras tabungan kasar negara kekal tinggi pada kadar 37 peratus daripada KDNK 2008, katanya.
"Keadaan ini memberi kelebihan dan fleksibiliti kepada negara untuk menggembleng lebihan sumber sedia ada bagi menyokong kegiatan sektor swasta dan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya," katanya.
Najib juga memberitahu bahawa butiran terperinci pakej rangsangan kedua akan dibentangkan pada 10 Mac ini, dan akan lebih besar dan menyeluruh daripada Pakej Rangsangan pertama yang diumumkan pada November tahun lepas.
"Dalam pada itu, kita sedang meninjau dan sedang mengambil kira keperluan tambahan kumpulan industri kecil dan sederhana (PKS) yang boleh kita ambil kira dalam pakej kedua," katanya.
Menurutnya, kerajaan juga akan mengambil kira projek-projek yang diperlukan sama ada bagi kawasan bandar mahu pun luar bandar dalam Pakej Rangsangan kedua itu.
"Dengan pelaksanaan pakej rangsangan pertama dan kedua, dengan sokongan padu dari semua pihak termasuk sektor swasta dan semua rakyat, kerajaan yakin negara akan dapat mengelak dari mengalami kemelesetan ekonomi," katanya.
- MALAYSIAKINI