DiGi catat untung selepas cukai RM1.1 bilion

DiGi.Com Bhd. (DiGi) telah mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.1 bilion dan pertumbuhan sebanyak 10 peratus bagi perolehan kepada RM4.8 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008.

Peningkatan perolehan didorong oleh permintaan stabil bagi perkhidmatan mudah alih dan peningkatan asas pelanggan kepada 7.1 juta pada penghujung 2008. Purata perolehan untuk seorang pengguna kekal pada paras RM59.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Dennelind berkata, mereka berjaya mencapai sasaran kewangan walaupun berdepan dengan persaingan sengit dan keadaan makro ekonomi yang mencabar menjelang penghujung tahun lalu.

''Kami telah mencapai momentum positif bagi perniagaan pasca bayar apabila menyaksikan peningkatan pelanggan sebanyak 56 peratus melepasi paras satu juta.

''Dari tahun ke tahun, pendapatan DiGi sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat kepada RM2.2 bilion. Seperti yang dijangka margin EBITDA menurun kepada 45.1 peratus ekoran tekanan persaingan harga, laluan dan kos operasi rangkaian serta peningkatan jualan dan perbelanjaan pemasaran,'' kata DiGi dalam kenyataannya di sini hari ini.

Tambah Dannelind, keuntungan selepas cukai adalah RM1.5 bilion, peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding RM1.4 bilion pada tahun sebelumnya berikutan kenaikan perolehan dan EBITDA.

''Keuntungan selepas cukai juga meningkat sebanyak tujuh peratus kepada RM1.1 bilion. Pendapatan sesaham meningkat kepada 148.5 sen daripada 141.7 sen pada tahun 2007.

''Berbanding dengan keputusan suku bagi tempoh yang sama tahun lalu, perolehan syarikat meningkat lima peratus kepada RM1.2 bilion. Manakala keuntungan sebelum cukai pada suku ini adalah sebanyak RM381.8 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM282.2 juta,'' katanya.

DiGi menjangkakan 2009 merupakan tahun yang mencabar, tetapi tetap optimistik terhadap peluang pertumbuhan.

Dennelind berkata, DiGi sangat teruja dengan pelancaran perkhidmatan jalur lebar mudah alih dan 3G mereka dalam tempoh terdekat.

''Ia akan membuka peluang penambahan perolehan baru kepada DiGi dan apa yang penting peluang untuk DiGi membawa pengalaman jalur lebar baru kepada rakyat Malaysia.,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url