Perlu akur kepada keputusan Sultan Perak - Peguam Muslim

Tindakan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang terus berdegil dan menganggap dirinya masih Menteri Besar boleh menimbulkan situasi tegang dan huru-hara di Perak.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, Mohammad Nizar perlu akur dengan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mahu beliau dan para Exco Kerajaan Negeri meletakkan jawatan.

Katanya, bekas Menteri Besar Perak itu dilihat cuba membangkitkan kemarahan para penyokongnya terhadap Sultan Azlan Shah dan menimbulkan huru-hara di negeri itu.

"Beliau perlu akur dan hormat titah Sultan Azlan Shah kerana baginda telah membuat keputusan berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abu Zahar, sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan Shah telah mengkaji secara mendalam peruntukan Perlembagaan dan fasal undang-undang yang membolehkan baginda membuat keputusan itu berdasarkan asas dan fakta keadaan semasa.

Katanya, mungkin Sultan Azlan Shah berpendapat Mohammad Nizar telah bertindak membelakangkan baginda lalu mengambil keputusan untuk menggunakan peruntukan di dalam bidang kuasa baginda.

"Sebagai contoh, tindakan Mohammad Nizar membubarkan Dewan Undangan Negeri tanpa mendapat persetujuan sultan juga bercanggah dengan peruntukan sedia ada.

''Beliau sepatutnya berjumpa sultan sebelum mengumumkan pembubaran itu," ujar beliau.

Abu Zahar berkata, jika perkara itu dibawa ke mahkamah sekalipun ia tidak akan membawa sebarang makna kerana peruntukan undang-undang sudah jelas dan nyata walaupun bantahan demi bantahan dilakukan.

Beliau menasihati Mohammad Nizar membatalkan hasrat untuk memfailkan saman ke atas Sultan Perak apa yang telah diputuskan sudah termaktub di dalam undang-undang dan Perlembagaan negara.

"Sultan Azlan Shah bukan calang-calang orang kerana baginda amat berpengalaman luas dalam bidang undang-undang dan apa yang dilakukan baginda sudah tentu berlandaskan peruntukan sedia ada," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url