ISA bersifat pemulihan

''Saya pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi hari ini saya mempertahankan akta tersebut agar ia dikekalkan kerana ISA yang telah menjadikan kami jauh lebih baik pada hari ini."

Demikian luahan salah seorang daripada dua bekas tahanan ISA iaitu bekas Penasihat Kumpulan Al-Arqam, Zabidi Mohamed, 47, dan bekas Bendahari Kumpulan Jemaah Islamiah (JI), Faiz Abu Bakar Bafana, 47 tahun.

Menurut mereka, kaedah pelaksanaan ISA yang bersifat pemulihan berbanding undang-undang lain yang menjurus kepada aspek hukuman adalah lebih baik, justeru ia perlu dipertahankan.

Zabidi yang juga bekas majistret berkata, berdasarkan pengalamannya, dia yakin sekiranya ISA dimansuhkan ketenteraman negara ini akan terjejas, sementara rakyat pula mudah terdedah kepada anasir-anasir buruk.

''Cuba anda fikirkan mana ada akta yang akan memberi elaun bulanan kepada tahanan mereka selepas dibebaskan, malah kami tidak didera sebaliknya diasuh menjadi rakyat yang baik.

''Selama tiga tahun saya ditahan, akhlak saya semakin bagus begitu juga dengan rakan-rakan lain dan ada di antara mereka yang berjaya menjadi usahawan, guru dan sebagainya selepas dibebaskan,'' katanya.

Sehubungan itu, dia mengesa supaya ISA dikekalkan dan menyeru kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar berani bertindak tegas terhadap sesuatu yang boleh mengancam negara dan nyawa.

Beliau berkata demikian pada majlis Bicara Tokoh Adakah ISA Satu Bentuk Penganiayaan? yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di sini, malam tadi.

Sementara itu, Faiz yang pernah merancang pengeboman sebuah gereja di Indonesia sebelum dia ditahan di bawah ISA berkata, akta itu telah memberi peluang kedua kepadanya agar kembali ke landasan yang benar.

Tambahnya, dia bersyukur kerana akta itu telah memberi ruang kepadanya untuk memperbaiki kesilapan lalu seterusnya kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

Justeru, dia menggesa ISA dipertahankan dan menganggap pihak yang menentang ISA sebagai golongan yang tidak memahami keperluan serta tujuan ISA diadakan iaitu bagi menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Dalam pada itu, Ismail berkata, ISA adalah satu pendekatan pemulihan akhlak dan bukan berbentuk hukuman seperti yang didakwa sesetengah pihak dan gesaan memansuhkannya satu pemikiran yang kolot.

Menurutnya, akta tersebut bertujuan memulihkan pemahaman dan ideologi yang didapati jauh terpesong dari landasan asal dan bukan bertujuan untuk menghukum individu atau kumpulan yang terbabit.

''ISA masih diperlukan walaupun ancaman pengganas komunis telah berakhir, kerana negara masih terdedah kepada bentuk ancaman keselamatan lain yang berpotensi menggugat keselamatan awam,'' katanya.

Jelasnya, antara ancaman-ancaman itu adalah ancaman keselamatan kumpulan pengganas, kumpulan ekstremis agama dan pelampau kaum.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url