PPSMI hina bahasa Melayu?
Pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dianggap menghina bahasa Melayu kerana tidak yakin dengan kemampuan bahasa itu untuk menguasai ilmu.
Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berkata, PPSMI direstui oleh kebanyakan ahli politik 'bermusim' dan bukannya negarawan yang mengetahui kepentingan bahasa ibunda.
"Saya menyertai Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) agak lewat juga namun tidak bermakna saya tidak mengikuti perkembangannya, mengapa kita meragui kemampuan bahasa sendiri?
"Perlu diingat tidak ada tamadun yang dibangunkan tanpa menggunakan bahasa ibundanya sendiri," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan perhimpunan raksaksa di Istana Negara Kuala Lumpur bagi membantah PPSMI di sini hari ini.
Perhimpunan itu akan diadakan bermula pukul 2 petang pada 7 Mac ini dan GMP menyasarkan 100,000 orang akan menyertai perhimpunan itu.
A. Samad yang juga merupakan penasihat GMP berkata, usaha membantah PPSMI telah dijalankan sejak bertahun-tahun lamanya dan bukan hanya dibangkitkan setelah enam tahun PPSMI dilaksanakan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Sejak sekian lama, kita berjuang namun mungkin orang ramai tidak nampak kerana ahli bahasa ini biasanya sopan dan sabar.
"Satu waktu dahulu, lebih daripada 60 profesor memberi pandangan menentang PPSMI namun tak didengar oleh pihak berwajib," katanya.
Sementara itu, penulis terkenal, Ainon Mohd. sependapat tentang kepentingan bahasa ibunda kepada sesebuah negara untuk mencapai kemajuan.
"Sewaktu Rom menjajah Eropah, mereka memaksa orang Eropah menggunakan bahasa Latin dan sepanjang tempoh penjajahan itu Eropah berada dalam zaman kegelapan.
"Namun setelah pemberontakan berlaku, mereka bebas daripada penjajahan, dan menggunakan bahasa mereka sendiri sehingga Eropah muncul sebagai negara maju," katanya.
Menurut beliau, kajian pakar dari seluruh dunia juga membuktikan bahawa subjek Sains dan Matematik lebih mudah dikuasai jika diajar menggunakan bahasa ibunda.
"Kita perlu melihat kembali bagaimana untuk meningkatkan lagi mutu, kaedah, pengajar dan semua aspek berkaitan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam kelas bahasa Inggeris.
"Konsep dalam Sains dan Matematik juga bukan bahasa pertuturan seharian yang membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik," katanya.
Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMPPSMI) merancang untuk menghimpunkan 100,000 orang bagi menyertai perhimpunan raksasa membantah PPSMI di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur pada 7 Mac ini.
Naib Pengerusinya, Prof. Abdullah Hassan berkata, pihaknya bagaimanapun belum memperoleh permit untuk mengadakan perhimpunan secara aman itu yang bermula pukul 2 petang.
Justeru, kata beliau, pihaknya akan memaklumkan kepada polis untuk mendapatkan permit secepat mungkin bagi membolehkan perhimpunan yang turut disertai Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said itu diadakan.
"Tujuan kita mengadakan perhimpunan untuk membantah PPSMI yang jelas membelakangkan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
"Kita yakin perhimpunan ini akan berjalan secara aman, takkan pejuang bahasa seperti Datuk A. Samad Said akan melakukan demonstrasi secara ganas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir ialah A. Samad Said selaku penasihat GMPPSMI dan penulis terkenal yang juga merupakan ahli jawatankuasa GMPPSMI, Ainon Mohd.
Abdullah berkata, pelaksanaan PPSMI merugikan berjuta-juta anak Melayu yang tidak memahami bahasa Inggeris dan pendidikan mereka akan tercicir.
Katanya, langkah melaksanakan PPSMI kononnya sebagai satu 'paksaan' supaya pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris adalah tidak tepat.
"Ia sama seperti jika kita hendak anak-anak bukan berbangsa Cina menguasai bahasa Mandarin dengan memaksa mereka menggunakan bahasa itu dalam pengajaran Sains dan Matematik, tentu tak masuk akal.
"Sepatutnya mutu, kaedah dan kemahiran pengajar dalam mengajar kelas bahasa Inggeris itu ditingkatkan, terutamanya di kawasan luar bandar," katanya yang juga Pengarah Institut Peradaban Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Katanya, alasan PPSMI perlu dilaksanakan kerana buku-buku rujukan di institusi pengajian tinggi (IPT) kebanyakannya dalam bahasa Inggeris juga tidak tepat malah tidak menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
"Sepatutnya usaha dilakukan bagi memperbanyakkan lagi buku rujukan dalam bahasa Melayu bukannya menghapuskan bahasa itu sebagai bahasa ilmu.
"Setelah pelbagai usaha dilakukan, pendapat pakar-pakar dari pelbagai bidang seolah-olah tidak dipedulikan, maka kita akan mengadakan perhimpunan ini kerana ia membabitkan nasib jutaan anak Melayu di negara ini," katanya.
Menurut Abdullah, kajian pakar dari seluruh dunia telah membuktikan bahawa pembelajaran Sains dan Matematik lebih mudah dikuasai jika diajar menerusi bahasa ibunda.
"Kita bimbang bahasa Inggeris pun nanti lemah dan pencapaian Sains dan Matematik anak-anak juga menurun," katanya.
Beliau turut sangsi dengan keputusan pencapaian cemerlang subjek Sains dan Matematik pelajar-pelajar di negara ini kerana sejak PPSMI dilaksanakan, kerajaan tidak pernah mengumumkan berapa sebenarnya markah lulus untuk kedua-dua subjek itu.
"Apakah markah lulus menjadi terlalu rendah kerana terlalu ramai yang mencatat markah rendah?" soalnya.
- UTUSAN