Isu-isu akhbar cina

Beberapa berita berkaitan gejala lompat parti dilaporkan oleh akhbar Sin Chew Daily dilengkapi dengan jadual kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) Kedah, Isnin lalu.

Dengan tajuk “Exco Kedah, Arumugam gagal dihubungi” Sin Chew melaporkan, exco itu ‘hilang’ dari rumahnya dan gagal dihubungi oleh semua pihak.

V. Arumugam adalah satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili kaum India di Kedah. Beliau bertanggungjawab ke atas semua hal ehwal kaum India dan Thai serta perdagangan dan pengguna. Beliau sebenarnya adalah calon Bebas dan menyertai PKR selepas pilihan raya.

Satu lagi berita bertajuk “Elak mengikut langkah Perak, Pakatan Rakyat Kedah kawal lompat parti”. Menurut berita itu, gempa politik di Perak turut menggoncang situasi di Kedah. Tersebar luas khabar angin mengatakan ADUN pakatan parti pembangkang akan meninggalkan parti.

Maka pemimpin atasan kini berjaga-jaga dan cuba mengawal kejadian itu daripada berlaku.

Pas yang menerajui kerajaan negeri mengadakan mesyuarat tergempar pada petang 5 Februari dan mengarahkan semua ADUN hadir.

Kebimbangan itu diulas lagi oleh berita lain bertajuk “ADUN berubah haluan, tumbang Pakatan Rakyat”. Ia turut melaporkan desas-desus lompat parti di Kedah tetapi semua ADUN parti pakatan pembangkang terutamanya dari PKR menafikan berita itu.

Malah mereka menafikan laporan bahawa mereka telah ‘dikurung’ oleh pemimpin atasan,

Gejala itu didakwa menular menerusi tajuk berita “Ada orang beri tawaran tinggi cuba tarik kami keluar parti”. Dakwaan itu didedahkan oleh dua ADUN PKR, Lin Shi Nian dan Cheng Chu Jiang. Kononnya, mereka ditawar ganjaran lumayan untuk keluar parti.

Mereka bagaimanapun mendakwa telah menolak tawaran itu kerana mahu kekal dalam kerajaan sekarang.

Muka depan Oriental Daily News pada 9 Februari pula melaporkan, “Sultan Perak Tangguh Sambutan”. Menurut akhbar itu, kemelut politik Perak masih belum selesai. Pihak polis terpaksa memohon Sultan Azlan Shah menangguhkan majlis sambutan ulang tahun pertabalan ke-25 baginda yang sepatutnya berlangsung semalam di Batu Gajah. Bagaimanapun, Ketua Polis Perak menegaskan, keselamatan di negeri itu terkawal.

Akhbar itu juga melaporkan mengenai permintaan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin agar para penyokongnya bertenang.

Menyentuh isu Karpal Singh mahu mendakwa Sultan, Nizar dilaporkan berkata, beliau “tidak tahu menahu”. Beliau menyerahkan isu itu kepada Karpal.

Majlis Peguam pula memberi sokongan kuat kepada Karpal dengan alasan beliau berhak membawa kes itu ke mahkamah. Akhbar itu turut memuatkan laporan-laporan polis terhadap Karpal kerana menghina institusi raja.

Mengiringi tajuk utama muka depan akhbar tersebut ialah berita mengenai “Tanda tangan menolak Hee Yit Fong”. Berita itu diiringi oleh gambar menunjukkan orang ramai menurunkan tandatangan menyahut bantahan Pemuda DAP Perak menuntut supaya Yit Fong meletakkan jawatan.

Seramai 750 orang telah menurunkan tanda tangan. Kempen itu turut menyaksikan beberapa kain rentang bertulis “Katak Politik” dan “Wu San Kui Moden” diletakkan di kawasan itu. Dalam sejarah China, Wu San Kui dikenali sebagai seorang wanita yang mengkhianati kerajaan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url