Komentar - Jangan seret masalah politik ke jalanan

Bayangkan senario ini, sekelompok manusia yang sebahagian besar masih mempunyai air wuduk, menjerit kata-kata kesat, melontar objek, berbalah dengan polis dan berbaring di jalanan.

Apa yang dipaparkan ini bukanlah sebuah drama tetapi itu yang berlaku di Kuala Kangsar, Jumaat lalu sebaik sahaja umat Islam selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Ubudiah.

Berikutan keadaan berkenaan, rakyat negara ini sekali lagi dipaksa menyaksikan satu adegan yang 10 tahun lalu meletakkan mereka di dalam kegelisahan iaitu demonstrasi jalanan yang tercetus akibat konflik politik.

Telatah dan tindakan mereka bagaikan orang yang berada di luar kewarasan. Mereka hadir di situ dengan satu tujuan iaitu membantah upacara pelantikan Menteri Besar yang baru berikutan gugurnya kekuasaan kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Persoalannya siapakah lelaki-lelaki berkenaan? Apakah mereka ini benar-benar rakyat Perak? Adakah itu penyokong Pas kerana cara pakaian mereka? Kenapa mereka begitu ganas sekali sehinggalah kenderaan rasmi Raja Muda Perak pun hendak ditahan?

Sebenarnya, kita boleh mengesahkan bahawa mereka adalah penyokong pakatan pembangkang. Namun siapapun mereka, tindakan menyeret masalah politik ke jalanan adalah satu perbuatan yang tidak bertamadun dan hanya dilakukan oleh kelompok manusia yang benar-benar kemaruk kuasa sahaja.

Rakyat negara ini sudah diajar bahawa untuk melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan atau parti ia boleh dilakukan melalui proses pilihan raya yang tertib.

Mereka sudah melakukan tindakan berkenaan dalam pilihan raya umum lalu, apabila melakukan undi protes kepada Barisan Nasional (BN) sehingga memungkinkan parti itu kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kalah di Perak, Kedah dan Selangor.

Biarpun kecewa tetapi penyokong-penyokong BN tidak pernah merusuh, malah di Terengganu pada tahun 1999 apabila pemerintahan kerajaan negeri di bawah BN kecundang, tiada penyokong BN bertindak anarki. Mereka menerima keputusan dengan hati terbuka.

Tetapi kenapakah apabila pakatan pembangkang yang turut disertai oleh PKR, kehilangan kuasa di Perak berikutan kerajaan negeri sedia ada sudah tidak mempunyai majoriti, penyokong parti pembangkang hendak merusuh?
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url