Cabaran utama BN Perak
Untuk mempertahankan kekuasaan serta menyakinkan rakyat berikutan pengambilan kekuasaan di dalam keadaan yang cukup dramatik berikutan langkah wakil rakyat mengisytiharkan keluar parti bukanlah suatu tugas mudah. Oleh itu pentadbiran BN yang diketuai Datuk Dr. Zambry Abdul. Kadir mempunyai tanggungjawab yang cukup berat. Setiap langkah mereka diperhatikan dan setiap tindakan dinilai oleh rakyat. BN perlu melaksanakan tugas dengan jiwa yang besar.
Apa yang paling penting pengambil alihan kuasa ini bukanlah detik-detik untuk membalas dendam terhadap pentadbiran kerajaan negeri terdahulu. BN tidak perlu mencontohi perangai buruk pembangkang yang mengungkit segala kesilapan pemerintah terdahulu apabila menguasai kerajaan negeri di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.
Jika ada kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan negeri terdahulu maka perbetulkanlah dan jika ada perkara baik yang dilaksanakan maka teruskanlah. Sikap seumpama ini amat penting kerana kestabilan politik di Perak perlu dikembalikan dan kesejahteraan hidup rakyat harus diutamakan. Adalah tidak wajar jika BN di awal pemerintahannya lebih banyak menghabiskan masa mengungkit keburukan kerajaan terdahulu kerana rakyat akan berasa muak.
BN perlu menganggap dengan cara perolehan kuasa yang dramatik berkenaan ibarat mendapat mandat sementara, sama ada mandat itu akan disambung atau tidak, ia akan ditentukan oleh rakyat.
Oleh itu apabila memulakan tugas rasmi, kerajaan BN perlu mengkaji dan berusaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti itu. Kekalahan di dalam pilihan raya umum seharusnya menjadi pengajaran kepada BN bahawa terlalu banyak yang perlu dilakukan.
Ia terutamanya melibatkan kawasan-kawasan yang dilihat kedudukan BN ibarat telur di hujung tanduk.
Berasaskan kepada keputusan pilihan raya umum lalu, daripada 28 kerusi yang dimenangi, 10 daripadanya BN menang dengan majoriti di bawah 1,000 undi dan kesemuanya milik UMNO. Daripada jumlah itu masing-masing tiga kerusi memperolehi majoriti undi di bawah 100 dan 500 undi, malah ada kerusi yang disandang oleh BN dimenangi hanya dengan 14 undi dan 66 undi.
Keadaan itu dengan jelas membuktikan bahawa tugas utama BN ialah mengembalikan keyakinan rakyat termasuklah di tiga kerusi Bebas yang kesemua wakilnya menyokong BN sehingga merealisasikan impian untuk kembali memerintah.
Dalam soal ini, BN tidak boleh melakukan kesilapan dan tidak boleh sama sekali dilihat rakus berkuasa sehingga melakukan tindakan-tindakan yang kesudahannya akan menyebabkan ia akan ditolak sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang.