Liputan Blog
Namun di sebalik kenyataan itu, Stephen Francis (shanghaistephen.blogspot.com) menulis, dalam keadaan kewangan global sekarang baginya "wang adalah raja."
Katanya, jika tidak masakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Mawar, Keshvinder Singh membuat dakwaan beliau ditawarkan sebanyak RM20 juta supaya menjadi wakil rakyat Bebas.
"Percayakah anda? Kesh (Keshvinder) mendakwa ketika tawaran itu dibuat, dia turut menamakan seorang wartawan akhbar berbahasa Cina. Tetapi siapa wartawan itu dan dari akhbar mana perlu diberi perhatian. Pada masa ini wang masih lagi sebagai raja," tulisnya.
Sementara itu Stephen Doss (stephendoss.blogspot.com) dalam tulisannya di bawah tajuk "UMNO atau bangsa, yang mana dahulu?" menanyakan sama ada keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu mengundur diri sebagai Perdana Menteri memberi kesan kepada UMNO ataupun bangsa.
"Saya harap Tuhan membuat keputusan yang memberi kebaikan kepada bangsa," tulisnya.
Penulis turut mempersoalkan apabila ahli UMNO membuat keputusan berkaitan kerajaan dan apabila mereka memilih pemimpin terbaik, adakah pemilihan itu untuk UMNO atau negara?
"Jadi, apabila UMNO memilih lebih perkauman atau lebih Melayu di kalangan mereka, apakah ini menterjemahkan bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia yang pelbagai kaum?
"Tidakkah lebih baik jika UMNO memilih rakyat Malaysia yang terbaik dan paling moderat sebagai Perdana Menteri dan paling Melayu sebagai Presiden UMNO... Dua orang berbeza untuk dua jawatan berbeza," tulisnya.
A. Kadir Jasin (akadirjasin.com) dalam tulisannya pada 24 Februari pula membidas pembaca-pembaca blognya yang tidak matang dan toleran.
Katanya, apabila beliau menulis dan membuat perbandingan antara dunia pelacur Hong Kong Suzie Wong dan dunia Elizabeth Wong dalam tulisan terdahulu, ia telah menimbulkan kemarahan dan teguran ramai pembaca.
"Ada yang menuduh saya mengamalkan tabloid journalism dan penulisan picisan. Rasa-rasanya tulisan saya itu bukan kewartawanan tabloid mahupun penulisan picisan. Sebaliknya saya rasa ia lebih mirip kepada genre satira. Dalam bahasa Inggeris, satire (sataya).
"Dalam satira, perlakuan jahat, sumbang, kegila-gilaan, kebudak-budakan dan kelemahan manusia didedahkan dan diadili melalui cemuhan, sindiran dan ironi dengan tujuan mencari kebaikan," tulisnya.
Katanya, ramai pembaca begitu emosi dan marah-marah apabila beliau menulis sesuatu yang tidak memihak kepada pembangkang apatah lagi mengkritik pembangkang tetapi apabila kritikal terhadap pemerintah, begitu ramai yang menyokongnya dan berapi-api mengkritik dan mengutuk pemerintah.
"Jadi saya kadang-kadang bertanya kepada diri sendiri, apakah benar seperti yang diuar-uarkan, iaitu pengundi kita semakin matang, bijak, toleran, demokratik, liberal dan menghormati hak asasi manusia?
Kalau benar mereka lebih menghormati hak asasi manusia, mereka tentulah tidak mencemuh apatah lagi memaki hamun orang lain semata-mata kerana fahaman atau afiliasi politik yang berbeza," tulisnya.
Penulis Syed Imran (kudaranggi.blogspot.com) dalam tulisan terbarunya menulis tentang kealpaan UMNO bagi menghadapi tiga pilihan raya kecil tidak lama lagi.
Katanya, pilihan raya kecil di Perak, Kedah dan Sarawak itu nanti akan memberi isyarat jelas sama ada rakyat menyokong Barisan Nasional (BN) atau pakatan parti pembangkang,
"Apa yang dapat saya katakan mengenai Bukit Gantang hanyalah satu, setakat ini, iaitu UMNO masih belum belajar daripada kesilapan lampau.
"Sebagai contoh, awal-awal lagi dah sebut atau membuat dakwaan kononnya sebilangan 'ahli Pas' keluar parti untuk menyokong UMNO.
"Taktik atau muslihat sedemikian sudah busuk dan tidak mudah dipercayai oleh rakyat. Kenapa pemimpin UMNO masih belum sedar?" tulisnya.
Tulisnya, para pemimpin UMNO harus sedar bahawa berita-berita sedemikian bukan lagi satu kelebihan kepada mereka untuk meraih sokongan rakyat.
"Satu lagi perkara yang perlu dimaklumkan kepada UMNO dan BN semasa berkempen sama ada di Bukit Gantang atau Bukit Selambau - jangan turunkan mantan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mantan ketua angkatan muda PKR, Ezam Mohamad Nor.
"Dia bukan aset tetapi liabiliti. Dia memang pandai berpidato sama seperti mantan bosnya itu, tetapi isinya kosong dan tidak diterima rakyat. Rakyat sudah muak dengan isu-isu yang dibangkitnya," katanya.
Penulis ini berkata:" Satu lagi topik yang akan dijadikan isu oleh UMNO adalah soal "derhaka" kepada Raja. Tidak tahu pula sama ada pada zaman sarwajagat tanpa sempadan sekarang perkara itu boleh terus dijadikan isu. Jangan samakan dengan zaman Kesultanan Melaka. Apakah UMNO lupa akan tindak-tanduk ahlinya sendiri di Selangor, Perlis dan Terengganu terhadap Istana?"