Memey enggan kenang kisah lalu


"Saya tidak mahu memikirkan sangat peristiwa lalu. Perjalanan hidup saya sekarang ini baik, lancar dan syukur kerana masih diberikan ruang untuk aktif semula dalam bidang lakonan.''

Itu reaksi aktres muda bernama Memey Suhaiza Suhaimi ketika diajukan persoalan oleh media tentang perkembangan hidupnya ketika ini.

Ujar Memey, dirinya enggan berterusan hidup dalam tekanan dan menganggap kisah lalu, biarkan ia berlalu.

"Saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Roda Roda KL terbitan Skop Production sebanyak 26 episod.

"Selain itu, saya memperoleh tawaran berlakon dalam filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak. Ini adalah filem pertama lakonan saya.

"Alhamdulillah, tawaran demi tawaran ini adalah permulaan yang terbaik buat saya menempuh tahun 2009,'' kata Memey ketika ditemui pada majlis pelancaran Dimensi Cinta di Bukit Kiara Equestrian Resort, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Memey dan Norman ditangkap berkhalwat di sebuah premis perniagaan di Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, 20 Januari lepas.

Menurut Memey, ketika mula-mula berhadapan dengan kes khalwat, dirinya mengakui terpaksa mendiamkan diri buat seketika daripada dunia seni.

Namun, jelasnya, tatkala keadaan mulai reda, dia tidak menyangka apabila masih ada beberapa produser dan pengarah menghubunginya untuk menawarkan berlakon.

"Kalau ada orang hendak kata mereka (produser dan pengarah) ambil saya berlakon adalah disebabkan kontroversi itu (khalwat), saya tidak tahu akan hal tersebut.

"Saya memandang ia daripada sudut positif. Ini adalah rezeki saya,'' tegas pelakon tinggi lampai ini.

Kata Memey, untuk filem Dimensi Cinta, dirinya telah pun mendapat tawaran berlakon sejak November lepas.

"Inilah peluang yang saya nanti-nantikan sejak dahulu lagi iaitu untuk berlakon dalam filem. Daripada pelakon drama, kini saya sudah bersedia untuk menerokai peluang lakonan filem pula.

"Menerusi Dimensi Cinta, saya membawakan watak seorang remaja perempuan yang berkawan dengan ahli kumpulan penari shuffle.

"Babak saya tidak memerlukan saya menari. Lagipun saya bukanlah pandai menari,'' ujarnya.

Ditanya tentang perasaannya apabila ditawarkan sebagai pelakon tambahan menerusi filem tersebut, Memey bagaimanapun berkata, ia adalah sebagai satu permulaan.

Tidak kisah kerana tidak ditawarkan memegang watak utama, Memey menganggap dirinya perlu lebih banyak belajar sebelum benar-benar bersedia menerajui watak utama satu hari nanti.

"Ini adalah cabaran untuk diri saya. Meskipun watak tambahan, ia adalah satu penghargaan buat saya,'' katanya.

Mengenai tawaran-tawaran lain, Memey memberitahu bahawa jadual kerjanya kini semakin padat dan disebabkan itu, dia tidak mahu terlalu tamak mengaut apa jua peluang mendatang.

Selain Memey, filem Dimensi Cinta yang berlatarkan kisah benar menampilkan barisan pelakon seperti Catriona Ross, Fahrin Ahmad, Awie, Eman Manan, Adam, Chaq dan Zarina AF.

Filem yang diterbitkan dengan kos sebanyak RM1.8 juta ini memulakan penggambaran pada 23 Februari (semalam) dengan memperkenalkan penerbit baru dalam industri perfileman, Raja Lela melalui syarikatnya, Harian Inovatif.

Nasihat Norman buat Memey

Sementara itu, ketika diajukan persoalan tentang Norman, Memey yang tidak putus-putus melemparkan senyuman berkata, aktor popular itu ada memberikannya tips-tips tentang lakonan dalam filem.

Katanya, selain memberikan sokongan, Norman turut menasihatkannya agar pandai menjaga diri dan lakukan yang terbaik.

"Saya memang selalu meminta pandangannya dan Norman tidak menghalang saya berlakon dalam filem.

"Apa yang penting, dia meminta saya agar pandai jaga diri dan buat yang terbaik,'' jelasnya yang tidak kisah andai ada pihak yang mahu menggandingkannya berlakon bersama Norman.

Kepada satu persoalan mengenai kesediaannya untuk menjadi isteri kepada Norman, Memey memberitahu, perkara itu masih belum difikirkannya buat masa ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url