Top Ad 728x90

Ampang banyak pusat judi


Jika dahulu pusat komputer atau kafe siber hanya boleh ditemui di pusat-pusat bandar sahaja, kini warga desa juga boleh menikmati kemudahan ini.

Beberapa tahun dahulu mungkin kewujudannya hanya untuk memberi kemudahan kepada orang ramai mendapatkan dan menggunakan perkhidmatan Internet.

Lain pula fungsinya dewasa ini apabila pusat komputer ini dijadikan tempat untuk bermain permainan video dan dijadikan pusat perjudian.

Lebih parah lagi apabila ada pengusaha kafe siber terang-terang melanggar syarat yang ditetapkan seperti membenarkan pelajar yang memakai pakaian sekolah masuk, menggunakan cermin gelap, menawarkan permainan judi, serta membenarkan kanak-kanak di bawah umur berada di premis mereka.

Walaupun telah banyak operasi dilakukan namun seakan tiada kesudahan apabila pengusaha-pengusahanya masih berani melakukan aktiviti mereka di tengah pusat bandar.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa lokasi kafe siber di sekitar bandar Ampang mendapati terdapat banyak lagi premis itu yang menjalankan aktiviti perjudian.

Kebanyakan kafe siber menyembunyikan aktiviti perjudian mereka di sebalik cermin gelap dan langsir bagi mengelak daripada dihidu oleh pihak berkuasa.

Tinjauan mendapati terdapat sebuah kafe siber yang menyembunyikan kewujudan aktiviti mereka di bawah nama sebuah restoran.

Apabila penulis cuba mendail nombor restoran tersebut, ternyata restoran itu telah memindahkan operasi mereka tetapi masih membiarkan papan tandanya di situ.

Sekali pandang memang tidak akan nampak papan tanda kafe siber tersebut yang terletak di sisi papan tanda restoran.

Ini sekali gus memberikan kesempatan yang luas kepada pemilik kafe siber untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Bagi mereka yang tidak tahu kewujudan aktiviti ini pasti menganggap tidak ada apa-apa yang berlaku di sebaliknya.

Ketika wartawan dan jurukamera cuba menghampiri premis tersebut, kami dikehendaki menekan loceng terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk.

Ini juga berkemungkinan bertujuan mengenal pasti siapa pelanggan yang datang dan mengelakkan diri mereka daripada diserbu terus oleh pihak berkuasa.

Malangnya, kami tidak dibenarkan masuk mungkin kerana mereka tidak pernah melihat kami sebelum ini.

Memang agak sukar untuk memasuki kafe siber seperti ini kerana kebanyakannya hanya menerima pelanggan pelanggan tetap yang memang dikenali.

Kami meneruskan pencarian di tempat lain dengan harapan boleh melihat sendiri apa sebenarnya yang berlaku di dalam kafe siber yang mempunyai cermin gelap.

Ada juga kafe siber yang menggantungkan langsir gelap bagi melindungi aktiviti di dalam.

Kafe ini dikunjungi oleh pelbagai peringkat umur sama ada pelajar sekolah ataupun golongan yang sudah berusia.

Walaupun perkara ini salah di sisi undang-undang, namun mereka yang datang untuk berjudi ini seakan tidak serik-serik malah makin ketagih dengan permainan judi ini.

Kebanyakan kafe siber yang mempunyai mesin judi hanya menerima pengunjung yang terdiri daripada ahli sahaja.

Menurut seorang pekerja kafe siber, Mohd. Sairul Zamri, 33, kebanyakan kafe siber yang memasang cermin gelap ini adalah yang menawarkan permainan perjudian.

"Biasanya kemasukan ke situ dihadkan kepada ahli sahaja. Orang luar susah nak masuk," ujarnya ketika ditemui di premisnya di sini.

Katanya lagi, kebanyakan pengusaha menawarkan aktiviti haram ini kerana boleh meraih keuntungan yang banyak berbanding kafe siber biasa. Ada juga yang menyediakan permainan mesin kuda atau mesin slot yang digilai oleh penjudi-penjudi.

"Permainan judi ini boleh menyebabkan mereka jadi ketagih dan ingin main selalu. Jadi mereka akan kerap mengunjungi kafe siber. Dari situlah kafe siber tersebut mendapat keuntungan," tambahnya.

Menurutnya, tidak menghairankan andai perkhidmatan permainan judi ini sukar dibanteras kerana keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda.

Akibat perbuatan segelintir pengusaha kafe siber melanggar peraturan, pesaing mereka dalam bidang yang sama turut menerima tempiasnya ibarat seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit.

Inilah dilema yang dihadapi oleh pengusaha kafe siber di sini yang kesal kerana perniagaan mereka dipandang serong oleh orang ramai terutamanya ibu bapa disebabkan oleh perbuatan tidak bermoral sebilangan pengusaha lain.

"Yang saya kesal ialah kami yang berniaga secara jujur, mengikut peraturan turut menerima tempiasnya kerana dituduh berbuat yang sama," katanya lagi.

Sementara itu, beberapa pengunjung turut melahirkan kekesalan mereka kerana masih terdapat banyak kafe siber yang menjalankan aktiviti perjudian seolah-olah perbuatan mereka tidak dipantau oleh pihak berkuasa.

Mereka berharap kegiatan itu dihapuskan kerana akibatnya amat buruk kepada mereka yang ketagihan berjudi.

"Mungkin mereka berjudi untuk mendapatkan keseronokan. Jika permainan biasa di internet kurang seronok berbanding judi.

"Kalau pernah menang lagilah bertambah ketagih untuk main lagi," kata seorang pengunjung, Muhammad Fathurrasi, 15.

Utusan Malaysia juga mendapati penangan permainan video sangat hebat di kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Malah ada yang sanggup ponteng sekolah kerana gian dengan permainan video ini. Yang anehnya masih ada lagi pengusaha kafe siber yang membenarkan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun memasuki kafe siber mereka.

Barangkali apa yang difikirkan mereka adalah keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesannya ke atas pemikiran kanak-kanak ini.

"Hari ini cuti sekolah. Baru balik dari kampung jadi saya ikut abang ke sini untuk bermain permainan video yang menyeronokkan ini," kata pelajar berusia 12 tahun itu.

Fenomena ini memang biasa kita lihat di mana-mana kafe siber walaupun tertera pelekat larangan di pintu premis berkenaan.

Letaklah apa pun amaran, namun amaran sekadar amaran - tidak akan diendahkan.

Hanya penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dan pengawasan ibu bapa yang dapat menghindarkan anak-anak mereka daripada terjebak ke dalam perangkap ini, yang boleh membuat manusia ketagih.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90